Kedah henti baharu lesen jual vape

Kedah henti baharu lesen jual vape

Menteri besar Sanusi Md Nor bagaimanapun berkata, tindakan haram penjualan vape di Kedah tidak boleh dibuat tergesa-gesa.

Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berkata, langkah menghalang penjualan vape merupakan satu jalan untuk mengekang penyalahgunaan dadah.
ALOR SETAR:
Kedah tidak akan menyambung pembaharuan lesen penjualan rokok elektronik atau vape, yang dikhuatiri turut menjadi satu alat untuk penyalahgunaan dadah.

Menteri Besar Sanusi Md Nor berkata, dalam mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah peringkat negeri semalam, perbincangan turut menyentuh berkaitan penggunaan vape sebagai medium penyalahgunaan dadah sintetik.

“Ada pihak mengambil kesempatan menjual dadah sintetik dalam bentuk cecair yang boleh dihisap menggunakan vape.

“Menghalang jualan vape merupakan satu jalan untuk mengekang penyalahgunaan dadah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Perlis mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape mulai 1 Ogos.

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata, langkah itu diambil berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 2022, mengharamkan penggunaan vape.

Sanusi bagaimanapun berkata, tindakan mengharamkan sepenuhnya penjualan vape di Kedah tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.

“Lesen sedia ada kena matikan dulu sebab pernah ada kes mahkamah untuk kes lain … Takut ada kelompangan terlepas pandang, kita akan disaman,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap larangan jualan vape termasuk di kedai runcit juga akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula tahun depan, selepas tiada lagi lesen jualan disambung.

Katanya, kerajaan negeri akan terus mempergiat tindakan membanteras dadah pada peringkat daerah dengan kerjasama pegawai daerah, ketua polis daerah serta pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Penyalahgunaan dadah telah menjadi ‘kudis dan barah’ dalam masyarakat, sehubungan dengan itu, ia perlu segera dirawat agar tidak lebih mudarat pada masa akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.