PRK Parlimen Kuala Terengganu 12 Ogos

PRK Parlimen Kuala Terengganu 12 Ogos

Penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos nanti.

SPR berkata, PRK Parlimen Kuala Terengganu akan menelan kos tambahan RM460,000.
PETALING JAYA:
PRK Parlimen Kuala Terengganu akan diadakan serentak dengan PRN enam negeri pada 12 Ogos ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh berkata, penamaan calon pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Beliau dalam sidang media memaklumkan, PRK itu akan menelan kos tambahan RM460,000.

PRK Kuala Terengganu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lalu membatalkan kemenangan calon PAS, Ahmad Amzad Hashim pada PRU15 November lalu.

Hakim Mohd Firuz Jaffril dilaporkan berkata, pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Walaupun pempetisyen tidak dikemukakan sebagai saksi, katanya, bukti lain mencukupi untuk mengisytiharkan pilihan raya di Kuala Terengganu terbatal dan tidak sah mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Umno mendakwa berlaku sogokan pengundi semasa tempoh berkempen, dengan kebanyakan isi rumah di kawasan Parlimen itu masing-masing menerima RM500 hingga RM1,000.

Ahmad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti 40,907 undi, selepas menewaskan tiga pencabar lain, termasuk Zubir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.