Kontraktor terowong dibayar RM74.8 juta pindah milik tanah kerajaan P Pinang

Kontraktor terowong dibayar RM74.8 juta pindah milik tanah kerajaan P Pinang

Mahkamah dimaklumkan demikian pada perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama bernilai RM6.3 bilion.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berdepan empat tuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG), kontraktor projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang, menerima bayaran RM74.8 juta daripada Ewein Zenith Sdn Bhd (EZCB) bagi pindah milik dua lot tanah kerajaan negeri itu.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mendedahkan bahawa pembayaran dibuat secara berperingkat dari 18 Nov 2013 hingga 30 Mac 2015.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng yang berdepan empat tuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Pada prosiding 16 Julai 2021, bekas Exco Pulau Pinang Lim Hock Seng berkata CZBUCG menamakan lot itu kepada EZCB, milik Ewe Swee Kheng, dan ia dibangunkan dengan projek mega dikenali sebagai “City of Dreams”

Ewe, yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15, meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh dari sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang pada 5 Okt 2021.

Pada prosiding hari ini, saksi pendakwaan ke-35, bekas pengarah Jabatan Tanah dan Galian Pulau Pinang Akmar Omar, 63, berkata beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai pembayaran itu.

Ahmad Akram: Datuk tidak mempunyai pengetahuan mengenai pembayaran. Tetapi ketika pembayaran ini dibuat, adakah tanah ini masih milik kerajaan negeri?

Akmar: Ya, masih milik kerajaan negeri.

Disoal peguam mewakili Lim, Gobind Singh Deo, mengenai perjanjian awal antara kerajaan negeri dan CZBUCG berhubung projek pembinaan jalan utama dan terowong, Akmar berkata, ia bukan sesuatu di luar batasan undang-undang.

Gobind: Sebelum ini tiada projek terowong di Pulau Pinang dan ia merupakan projek besar serta memerlukan perhatian dan kebenaran khas. Ia bukan apa-apa keistimewaan tetapi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan ia berjalan rancak. Betul?

Akmar: Ya, betul … ia untuk pembangunan kerajaan.

Mengikut tuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai ketua menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi tuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10% keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul, pada Mac 2011, sebagai upah membantu syarikatnya dilantik untuk projek sama.

Beliau juga berdepan dua tuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu, didakwa dilakukan pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung Khamis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.