‘Terimalah hakikat Tun dah kalah’, Ahli Parlimen Langkawi nafi rasuah

‘Terimalah hakikat Tun dah kalah’, Ahli Parlimen Langkawi nafi rasuah

Suhaimi Abdullah berkata tiada keperluan memberi rasuah kerana beliau sangka akan kalah dalam pertembungan dengan Dr Mahathir Mohamad.

Suhaimi Abdullah menang dengan majoriti 13,518 undi manakala Dr Mahathir Mohamad hilang deposit di Parlimen Langkawi pada PRU15.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Langkawi Suhaimi Abdullah nafi terbabit dengan rasuah pengundi, susulan dakwaan Dr Mahathir Mohamad mengenai kekalahannya di kerusi itu pada PRU15.

Menjawab dakwaan Mahathir bahawa kekalahannya di Parlimen Langkawi disebabkan amalan rasuah, Suhaimi berkata beliau tiada perlu memberi rasuah kerana menyangka akan kalah di tangan bekas perdana menteri itu.

Mahathir menang Parlimen Langkawi apabila meraih 18,954 undi pada PRU14, menewaskan dua pencabar dengan majoriti 8,893 undi.

“Saya calon dan saya tahu sama ada rasuah berlaku atau tidak. Lebih-lebih lagi saya tahu nak kalah kalau dengan Tun.

“Jadi kenapa saya perlu belanjakan wang lagi? logik ke (dakwaan Mahathir)? Saya ‘Mr Nobody’ dan tak pernah fikir untuk menang dengan dia,” kata wakil rakyat Perikatan Nasional itu kepada FMT.

Pada PRU15, Mahathir tewas apabila mempertahankan Langkawi dalam pertembungan lima penjuru. Beliau sekadar meraih 4,566 undi, sekaligus hilang deposit.

Suhaimi menang dengan majoriti 13,518 undi.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Mahathir sebagai berkata beliau hilang lebih 14,000 undi “hanya kerana rasuah” pada pilihan raya lalu, dan mendakwa seorang pengundi memberitahunya bahawa dia dapat duit.

“Tun (Mahathir) kena terima hakikat dia kalah. Dia tidak mempunyai fakta sebenar apa yang katakan,” jawab Suhaimi.

“Kadangkala bila kita kalah kita bagi macam-macam alasan sebab kita tak boleh terima hakikat kita kalah. Kita kena lihat sendiri (sebab kekalahan yang sebenar).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.