Tahanan lain bertanggungjawab atas kematian lelaki di lokap polis, kata kerajaan

Tahanan lain bertanggungjawab atas kematian lelaki di lokap polis, kata kerajaan

Putrajaya menafikan anggota polis bertugas menggalakkan dua tahanan tersebut menyerang mangsa dalam sel lokap ketika kejadian pada 2020.

G Jestus Kevin diberkas kerana mencuri pada 2 April 2020, tetapi meninggal dunia bawah jagaan polis dua hari kemudian. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Kerajaan menolak dakwaan seorang bapa bahawa polis bertanggungjawab atas kematian anak lelakinya berusia 30 tahun dalam lokap polis di Bentong, Pahang, tiga tahun lalu.

Sebaliknya, Putrajaya berkata kematian G Jestus Kevin pada 2020 berpunca daripada tindakan dua tahanan lain, iaitu Shaiful Zakaria dan Azril Yusof.

“Shaiful dan Azril mengikat (dan) menyerang si mati (Kevin). Semua pernyataan lain oleh plaintif (G Ganaprakasam) dinafikan dan beban bukti yang kukuh diletakkan padanya,” kata kerajaan dalam pernyataan pembelaan difailkan Jabatan Peguam Negara bulan lalu yang dilihat FMT.

Menurutnya, laporan bedah siasat mendedahkan Kevin meninggal dunia akibat trauma objek tumpul, kardiomiopati dan steatosis hati.

Selanjutnya, pihak pembelaan menyatakan anggota polis yang bertugas tidak mengarahkan mahupun menggalakkan Shaiful dan Azril menyerang Kevin.

Dalam jawapan seterusnya kepada pihak pembelaan, Ganaprakasam tidak bersetuju dengan pendirian kerajaan dan berkata, beliau akan mengemukakan semua keterangan yang ada untuk membuktikan kesnya.

Peguam, Sanjay Visvanathan berkata, Shaiful dan Azril tidak tampil dalam tindakan itu walaupun kertas kausa telah diserahkan kepada mereka.

“Tarikh akhir untuk mereka memfailkan pembelaan sudah lepas,” katanya kepada FMT.

Pada April, Ganaprakasam, 64, memfailkan saman sebagai pentadbir harta pusaka anaknya. Beliau berkata, anaknya meninggal dunia akibat kecuaian, pelanggaran kewajipan statutori, dan misfeasans di pihak polis, serta serangan oleh dua tahanan terbabit.

Beliau menuntut defendan membayar ganti rugi kepadanya, dan kehilangan pendapatan serta sokongan susulan kematian Kevin, seorang pekerja rencam.

Ganaprakasam menamakan 13 anggota polis, ketua polis Bentong, ketua polis negara dan kerajaan, serta Shaiful dan Azril sebagai defendan.

Kevin dan seorang lagi suspek, M Pathmarajah, ditahan polis atas kesalahan mencuri pada 2 April 2020, dan direman empat hari sementara menunggu siasatan.

Dua hari selepas ditahan, Kevin mula meracau ketika berada di dalam selnya pada kira-kira 9 malam.

Dia kemudian dikeluarkan dari sel asalnya dan dimasukkan ke dalam sel yang turut dihuni Shaiful dan Azril, kata Ganaprakasam.

Plaintif berkata, anaknya diserang oleh dua tahanan itu dengan galakan anggota polis yang bertugas.

Koperal Noor Hezreen Arif dan Fairus Azni, dua daripada defendan yang bertugas, menghubungi ambulans pada kira-kira 12.50 pagi 5 April, tetapi anggota paramedik yang memeriksa Kevin mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Ganaprakasam berkata, polis berhutang kepada anaknya kewajipan berjaga-jaga kerana dia berada bawah jagaan dan kawalan mereka. Katanya lagi, kerajaan bertanggungjawab atas tindakan dan peninggalan tanggungjawab oleh polis.

Beliau akan bergantung kepada keputusan inkues yang sedang dijalankan, laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), rakaman CCTV dan keputusan forensik untuk membuktikan kesnya terhadap defendan, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.