Adakah penyokong Najib akan boikot PRN?

Adakah penyokong Najib akan boikot PRN?

Seorang penganalisis berkata, boikot boleh melumpuhkan pakatan PH-BN, manakala seorang lagi percaya ia berisiko berdepan kekalahan yang akan melemahkan parti itu lagi.

Penyokong Najib Razak percaya beliau tidak mendapat perbicaraan adil dan menuntut pengampunan diraja susulan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dalam kes rasuah SRC International.
PETALING JAYA:
Dua penganalisis politik berbeza pandangan sama ada penyokong bekas perdana menteri, Najib Razak akan menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN 12 Ogos ini.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, penyokong Najib mungkin tidak menyahut seruan Pengerusi BN, Zahid Hamidi untuk menyokong gabungan perpaduan itu, ketika bekas Ahli Parlimen Pekan itu masih di penjara.

“Setakat ini, belum ada tanda Najib akan diampunkan, jadi sukar untuk melihat penyokongnya menyokong kerajaan perpaduan dalam PRN akan datang,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, sebarang boikot oleh penyokong bekas perdana menteri itu akan menjadi “halangan besar” buat PH-BN dalam PRN, berdasarkan asas sokongan besar bekas presiden Umno itu.

Katanya, terdapat kemungkinan kecil penyokong BN akan mengundi PH dan sebaliknya.

“Selama bertahun-tahun, pemimpin BN mendakwa DAP parti komunis dan membuatkan pendirian mereka ‘No Anwar, No DAP’ sangat jelas.

“PH pula sentiasa menggambarkan BN sinonim dengan rasuah. Bagaimanakah anda memujuk penyokong sebuah gabungan mengundi musuh tradisi mereka? Itu cabaran besar.

“Sekiranya prestasi BN teruk, ia akan memberi gambaran buruk kepada Zahid dan lebih banyak tekanan kepadanya atas situasi Najib. Malah, keputusan BN pada PRU15 sudah mencerminkan sentimen akar umbi terhadap kepimpinan Zahid.”

Minggu lalu, Zahid menyeru penyokong Najib menyokong kerajaan perpaduan dalam PRN akan datang di enam negeri.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun susulan sabitan kes rasuah SRC International. Peguam dan penyokongnya mendakwa beliau tidak mendapat perbicaraan adil. Langkah mendapatkan pengampunan diraja, yang disokong Umno, dimulakan April lalu.

Penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya, Awang Azman Pawi tidak menjangkakan penyokong Najib akan memboikot PRN kerana usaha untuk memastikan pembebasan bekas perdana menteri itu akan terus terbantut jika Umno semakin lemah susulan prestasi teruk pada PRN.

“Saya rasa mereka sedar risiko memboikot Umno. Saya percaya penyokong rasional tidak akan berbuat demikian,” katanya sambil menambah PH dan BN akan mendapat manfaat besar jika disokong Najib dan penyokongnya dalam PRN bulan depan.

Tetapi, beliau tidak menjangkakan penyokong Najib akan menjadi faktor penentu disebabkan BN berprestasi teruk pada PRU15 walaupun dengan sokongan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.