
Presiden LDP, Chin Su Phin berkata parti itu akan memberikan sokongan penuh kepada GRS dalam kempen pilihan raya berkenaan.
Katanya, kepimpinan parti membuat keputusan tersebut selepas membuat pertimbangan secara teliti faktor politik dan ekonomi.
Beliau berkata LDP kekal konsisten menyokong GRS demi menjamin kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang Sabah, lapor The Borneo Post.
“Pertukaran kerajaan yang kerap tidak semestinya menjamin pentadbiran yang lebih baik atau kemakmuran ekonomi. Sebaliknya, ketidakstabilan politik boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan menghalang kemajuan Sabah,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
LDP merupakan salah satu daripada enam parti komponen GRS yang diterajui oleh Ketua Menteri Hajiji Noor.
Parti itu sebelum ini adalah komponen Barisan Nasional (BN), namun keluar daripada gabungan itu selepas PRU 2018, yang menyaksikan BN tumbang di peringkat persekutuan dan negeri.
LDP bertanding secara solo dalam PRN 2020, dengan menurunkan 46 calon tetapi tewas di semua kerusi, sebelum menyertai GRS pada April 2023.