PSB sokong Anwar, Abang Jo ‘atas semangat perpaduan’

PSB sokong Anwar, Abang Jo ‘atas semangat perpaduan’

Presiden PSB Wong Soon Koh kini ketua pembangkang dalam DUN Sarawak.

Presiden PDP Tiong King Sing (kiri) dan Presiden PSB Wong Soon Koh menandatangani MoU hari ini.
KUALA LUMPUR:
Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim and Premier Sarawak Abang Johari Openg “atas semangat perpaduan”.

Presiden PSB Wong Soon Koh, yang juga ketua pembangkang negeri berkata, Abang Johari mendapat sokongan penuh parti itu supaya beliau dapat memenuhi keperluan rakyat Sarawak dan matlamat yang ditetapkan bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030.

“Kami, pemimpin dan ahli PSB, telah memutuskan untuk mengetepikan perbezaan, dan menyokong premier (Sarawak) dan perdana menteri untuk membolehkan mereka mencapai apa mereka mahu lakukan untuk negara.

“Mereka mendapat sokongan penuh kami dalam perpaduan demi kemajuan negara,” katanya dalam ucapan pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Parti Demokratik Progresif.

Apabila ditanya sama ada ini bermakna beliau akan berundur sebagai ketua pembangkang negeri, Adun Bawang Assan tujuh penggal itu hanya berkata: “Masa akan menentukan. Kami sedang melalui suatu proses.”

PDP, yang diketuai oleh Tiong King Sing, menganggotai gabungan pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS) manakala PSB di pihak pembangkang.

Wong dan Tiong menandatangani MoU berhubung kerjasama kedua-dua pihak selepas mereka memberi ucapan.

Wong berkhidmat sebagai menteri kewangan kedua Sarawak selama 15 tahun. Beliau pernah menjadi ahli komponen GPS, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), tetapi dipecat pada 2014.

PSB bertanding menentang GPS pada PRN Sarawak 2021, memenangi empat daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. Parti itu kini tinggal tiga kerusi selepas Adun Batu Lintang See Chee How meninggalkan parti itu tahun lepas.

Dengan DAP Sarawak hanya memenangi dua kerusi pada PRN, PSB kini parti pembangkang terbesar dalam DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.