Polis siasat jual pin ‘Datuk Pahang’ lebih RM1,000

Polis siasat jual pin ‘Datuk Pahang’ lebih RM1,000

Siasatan awal mendapati satu set pin berkenaan dijual pada harga RM1,265.

Yahaya Othman berkata mana-mana individu tidak boleh menjual, mempamer atau memiliki untuk dijual apa-apa lambang atau gelaran kebesaran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menyiasat penjualan pin bintang dan lencana darjah kebesaran Pahang yang membawa gelaran “Datuk” yang dikesan melalui sebuah platform e-dagang.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata siasatan awal yang dilancarkan selepas pihaknya menerima laporan kemarin mendapati satu set pin itu dijual pada harga RM1,265.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.

“Mengikut seksyen ini, tiada seorang pun boleh kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Sultan Pahang menjual, mempamer atau memiliki untuk dijual apa-apa lambang atau gelaran,” katanya pada sidang media di Kuantan menurut Berita Harian.

Tangkap layar penjualan pin ‘Datuk’ Pahang di sebuah platform e-dagang.

Beliau turut menjelaskan Seksyen 3(1)(d) Enakmen Lambang Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 turut melarang individu memasang atau memaparkan lambang atau emblem darjah kebesaran negeri Pahang pada mana-mana bahagian kenderaan mereka tanpa kebenaran.

“Mana-mana individu yang disabitkan bagi kedua-dua kesalahan berkenaan boleh dikenakan hukuman denda di antara RM250,000 hingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.