Pelajaran Zohran Mamdani yang tak dapat ditiru Madani

Pelajaran Zohran Mamdani yang tak dapat ditiru Madani

Zohran Mamdani berjaya kerana falsafah gerakan atau kempennya itu tetap di bumi dan langit.

faisal tehrani

Zohran Mamdani, bakal datuk bandar New York mulai awal tahun 2026 adalah seorang tokoh muda beragama Islam, melabel dirinya sebagai ‘sosialis demokrat’, berjaya menawan parti Demokrat yang sedang merosot pengaruhnya, menentang kelompok kanan Amerika, lobi Zionis dan Evangelis, dan seluruh dana besar berbilion untuk menewaskannya.

Di sebalik semua itu langit memilih Zohran Mamdani, tetapi saya percaya kemenangannya tidak boleh berlaku, suka atau tidak tanpa dua hal yang begitu mendasari kempennya.

Dua aspek tersebut saya sebutkan sebagai ‘falsafah Mamdani’. Dan dasar kempen beliau ini akan dibantu oleh dua lagi gerak kerja yang saya namakan pula sebagai ‘formula Mamdani’. Apakah falsafah Mamdani?

Ia ditunjangi oleh gabungan dua hal iaitu satu, gagasan dan kedua, kepercayaan tokoh yang dibincangkan ini. Gagasan yang saya maksudkan adalah mendobrak rantai ‘define and rule’ seperti diketengahkan oleh Mahmood Mamdani, bapa kepada Zohran Mamdani, seorang profesor terkenal.

Apakah yang saya maksudkan dengan menabrak ‘define and rule‘ ini? Ia datang daripada judul buku Mahmood Mamdani, ‘Define and Rule: Native as Political Identity’ (2012) terbitan Harvard University Press.

Dalam buku ini Mahmood Mamdani menelusuri bagaimana kuasa kolonial mencipta dan menginstitusikan identiti melalui rekaan politik tentang ‘pribumi’ dan ‘pendatang’. Mamdani berhujah bahawa politik identiti moden, terutama di Afrika dan Asia Selatan pascakolonial, tidak lahir daripada tradisi prakolonial, tetapi daripada strategi yang dibuat oleh pemerintahan kolonial dengan bertujuan menundukkan rakyat jajahan melalui pembezaan budaya, dan bukannya penyatuan.

Mamdani menjejak perubahan ini kepada peralihan dasar penjajah British daripada pemerintahan langsung kepada pemerintahan tidak langsung; suatu pendekatan yang diabsahkan oleh pentadbir seperti Frederick Lugard, Frank Swettenham dan sarjana seperti Lord Hailey. Dalam sistem baharu ini, undang-undang Eropah tidak lagi diterapkan secara sejagat; sebaliknya, pentadbiran kolonial mula mentadbir melalui garis ‘adat’, memberikan setiap subjek sasaran mereka identiti etnik yang tetap, dipantau oleh penguasa ‘suku’ yang dilantik. Dengan itu, kuasa kolonial telah ‘mentakrif’ manusia ke dalam kategori ras dan budaya tertentu, lalu ‘memerintah’ mereka melalui struktur yang diciptanya sendiri. Hasilnya, lahirlah watak ‘pribumi’ dan ‘watak pendatang’ yang dalam banyak keadaan ada yang mendapat malapetaka penjajahan iaitu terpisah daripada hak kewarganegaraan dan kelayakan politik atau hak asasi sejagat.

Mamdani membandingkan keadaan ini dengan konsep ‘warganegara’ dalam jajahan Eropah, yang menikmati hak individu di bawah undang-undang sivil. Perpecahan kolonial antara warganegara dan subjek inilah, menurut beliau, yang menjadi asas kepada ketegangan politik pascakolonial — di mana pertikaian tentang asal-usul, keperibumian, serta hubungan majoriti-minoriti terus mengulang logik penjajahan: siapa yang berhak termasuk, dan siapa yang harus tersisih.

Karya Mamdani ini, ‘Define and Rule’, benar-benar menggugat tafsiran liberal dan nasionalis terhadap proses dekolonisasi dengan menunjukkan bahawa politik identiti kolonial tidak pernah benar-benar dihapuskan — ia sekadar diwarisi. Mamdani menyeru komuniti politik pascakolonial difikirkan semula, agar ia tidak lagi berlandaskan perpecahan antara ‘pribumi’ dan ‘pendatang’, tetapi bertunjangkan kewarganegaraan yang adil dan partisipasi politik yang setara.

Dalam dunia akademik, sejak diterbitkan, karya ini telah menjadi lensa kritis untuk memahami warisan pengetahuan kolonial yang terus membentuk negara moden serta hierarki identitinya sehingga hari ini.

Zohran Mamdani tumbuh dalam rumah Mahmood Mamdani yang memikir dan merencanakan bagaimana harusnya kita memecahkan gari atau cara memutuskan belenggu kolonial ini. Di New York, dalam kancah politik semasa era Donald Trump hari ini, apa yang kelihatan adalah pemetakan, antara ras kulit putih, dan kelompok penghijrah, pendatang atau imigran. Malah imigran dimomokkan, diburu, ditangkap, dan dihantar pulang.

Apa yang Zohran Mamdani lakukan – berdasarkan Define and Rule – dengan penuh gaya, ialah Zohran telah memilih untuk berkempen dengan menegaskan identiti ‘pendatang’ beliau itu, dan pada masa sama mengucar-ngacirkan identiti ‘pribumi’ sedia ada. Hal ini jelas dalam ucapan kemenangannya, Zohran menyatakan ‘New York adalah kota yang lahir daripada imigran, dibangunkan oleh imigran, dan kini dipimpin oleh imigran’.

Gagasan memecahkan ‘define and rule’ ini digandingkan dengan satu hal yang paling utama pada batang tubuh Zohran Mamdani. Tidak syak lagi ia terletak pada kepercayaan beliau, iaitu sebagai seorang Muslim bermazhab Syiah Dua Belas. Sebenarnya, terdapat 76 calon Muslim bertanding di Pilihan Raya Bandaran seluruh Amerika Syarikat kali ini, 38 daripada mereka menang. Sepuluh daripada mereka adalah daripada penganut mazhab Syiah merentas kota-kota di Michigan, Maryland, Virginia dan Ohio.

Sayugia diingatkan di New York, Amerika Syarikat, Zohran adalah seorang 3X minoriti (minoriti dalam minoriti dalam minoriti). Beliau adalah seorang Muslim (minoriti) di Amerika Syarikat, minoriti Syiah Dua Belas di dalam agama Islam, dan minoriti Khoja di dalam mazhab Syiah tersebut. Populasi Khoja asal Gujerat, dalam mazhab Syiah di seluruh dunia tidak lebih 200,000 di seluruh dunia. Ini berbeza misalnya dengan Abdullah Hammoud, datuk bandar Dearbon (penggal kedua), juga seorang Syiah Dua Belas asal Lubnan yang lebih ‘mainstream’.

Perihal Zohran Mamdani selaku seorang Syiah Dua Belas bukanlah diada-adakan. Beliau pernah mengaku di media sosial khusus di platform X, mengaku di dalam satu rancangan televisyen YouTube kelolaan wartawan terkenal Mehdi Hassan, dan memang diketahui pengunjung tetap Pusat Islam al-Khoei di New York, sebuah pusat atau masjid Syiah yang tersohor. Malah ketika kempen beliau, Zohran beberapa kali meminta bantuan aktivis Syiah, dan beliau tidak segan silu membiarkan segala video dan fotonya bertebaran di dalam talian.

Khoja Syiah Dua Belas adalah satu kelompok pedagang-intelektual berasal dari India yang bertebaran di benua Afrika. Kebanyakan mereka membina kehidupan dengan perniagaan besar, dan sebaik berlaku bermacam-macam konflik di negara di Afrika, mereka berhijrah pula sama ada ke Australia, Britain, Kanada dan Amerika Syarikat. Hal inilah yang terjadi kepada bapa Zohran Mamdani, profesor Mahmood Mamdani yang akhirnya berhijrah ke New York dan bertugas kemudiannya di Universiti Harvard.

Salah satu kekuatan utama Khoja Syiah Dua Belas, memandangkan mereka kaum saudagar ialah mereka mempunyai kuasa dana yang hebat dan lebat. Kuasa dana ini tidak mereka bolot untuk diri sendiri tentunya. Di negara-negara tempat mereka ‘bertandang’ atau ‘meneroka’, Khoja menyumbang dalam bentuk kebajikan secara pesat.

Atas arahan marja’ mereka iaitu Ayatullah Ali Sistani di Najaf, Iraq; mereka memberikan biasiswa kepada anak yatim (baik mereka Islam atau bukan Islam, pendatang atau pribumi); membangunkan perumahan untuk orang melarat, menyediakan perusahaan untuk ibu tunggal, dan melakukan segala kerja kebajikan atas nama Imam Hussein. Salah satu gerakan yang dikaitkan dengan Khoja adalah ‘Who Is Hussein’ yang banyak membantu komuniti di pelbagai negara. Di Malaysia, ia pernah wujud tetapi dipermasalahkan oleh pihak berkuasa agama kita, dengan alasan ada agenda tertentu; justeru ia dihentikan.

Zohran Mamdani datang daripada tradisi ini iaitu tradisi dan kekuatan Syiah Khoja Dua Belas yang banyak melakukan kebajikan dan menyumbang. Keprihatinan Zohran terhadap kaum melarat seperti gelandangan misalnya tentulah asli dan ikhlas kerana ia memang datang daripada kebiasaan yang ada.

Hal ini menguatkan dasar falsafah sedia ada yang telah dipupuk oleh bapanya, sarjana besar dalam pengajian Afrika.

Harus diperhatikan, sebagai seorang Syiah Dua Belas, Zohran adalah penganut Syiah yang mempercayai 12 orang imam termasuklah kewujudan Imam Mahdi. Dalam hal ini penting untuk difahami bahawa Imam Mahdi sangat sentral dalam fahaman atau kepercayaan Syiah Dua Belas. Bagi penganut mazhab ini, Imam Mahdi adalah susuk akhir yang akan kembali membimbing umat manusia dengan keadilan dan membasmi segala kejahatan.

Sepanjang keghaiban Imam Mahdi, pengikut Syiah Dua Belas dikehendaki bersedia untuk kembalinya beliau dengan cara melakukan keadilan, membaiki keadaan sosial dan moral masyarakat, serta menyedarkan pengorbanan yang dilakukan keluarga Nabi Muhammad SAW khususnya ketika peristiwa Karbala. Dalam hal ini segala yang dilakukan oleh Imam Hussein dirujuk sebagai panduan.

Zohran dalam satu video kempennya tanpa segan silu menyatakan bahawa tenaga utama kepada fikrah atau idea gerakan beliau datangnya daripada Imam Hussein di Karbala iaitu membanteras korupsi zaman, dan sanggup berkorban nyawa dan jiwa demi baginda. Keperwiraan Imam Hussein bersalutkan penanti untuk Imam Mahdi adalah formula yang sama diimani oleh Hezbollah di Lubnan, membolehkan perlawanan panjang dengan Zionis; dan juga asas sama dipegang oleh Republik Islam Iran, khusus dalam menentang musuh imperialisme. Di sini seorang Syiah di mana pun mereka berada tidak akan berbeza.

Zohran menyebutkan Imam Hussein adalah inspirasinya untuk menegakkan keadilan, dan bagaimana ia dilakukan dengan berani lantang berdepan bala tentera kejahatan, meskipun sukar. Zohran menegaskan ‘melanggar kebiasaan adalah suatu yang mesti dipamerkan’ seperti dilakukan Saidina Hussein tersebut.

Tentu Zohran harus mempakejkan tunjang falsafahnya itu dengan sesuatu yang dikenal di Barat. Pakej tersebut dinamai ‘sosialis demokrat’. Prinsip memecahkan ‘define and rule’, bersertakan kepercayaan terhadap Imam Hussein dan Imam Mahdi dengan panduan daripada marja’iyyah Syiah ini sangat mendasari kempen Zohran Mamdani. Inilah yang menjadikan kempen beliau berjaya, dan berbeza daripada kempen calon Muslim lainnya, katakan Ilhan Omar.

Asas dan falsafah gerakan yang utuh ini diketengahkan secara bukan arus perdana, penuh indie tetapi tertib, yang membolehkan idea dan kudrat ibunya, Mira Nair dan isterinya, Rama Sawaf Duwaji. Mira seorang karyawan filem ‘independent’ yang meskipun pernah memenangi anugerah di Cannes dengan filem seperti Salaam Bombay dan dikenal di Amerika dengan filem Mississippi Massala kekal memilih untuk melawan sinema arus perdana iaitu Hollywood.

Mira tidak tergiurkan kemasyhuran Hollywood untuk kekal melawan dengan tradisinya. Video-video kempen awal Zohran dibikin oleh ibunya sendiri, yang juga kaki melawan.

Untuk memberikan warna muda, garang tetapi sangat berakar dengan uruf New York yang berbeza dari tempat lain, isterinya, Rama seorang ilustrator dan pereka yang mulai mencipta nama memberikan acuan khas dan istimewa sehingga setiap warga New York berasa diwakili. Di tangan kedua-dua wanita Mamdani ini, formula Mamdani disebati dengan falsafah sedia ada.

Dalam erti kata lain; Zohran berjaya kerana falsafah gerakan atau kempennya itu tetap di bumi dan langit, manakala ia dibungkus oleh strategi dan pendekatan yang bukan sahaja garing bahkan girang, demi memikat hati pengundi. Malang, orang selalu tergiur dengan bungkusan yang berkilat ini tetapi lupa intinya yang merupakan tenaga utama dan sebenar.

Saya tidak tahu progresif mana di Malaysia yang boleh mendapat manfaat daripada kempen Zohran Mamdani di Amerika. Kaum intelektual kita tertutup, malas membaca dan meneroka idea lain, sukakan permukaan dan mengelakkan kandungan sebenar. Kita yang kononnya progresif tidak pernah mempedulikan nasib kaum minoriti. Ambil sahaja kisah aktivis Amri Che Mat yang dihilangpaksakan, tidak siapa mahu ambil peduli, tetapi mereka inilah yang mengibar bendera dan poster Zohran Mamdani. Untuk rekod, Amri juga banyak melakukan kerja kebajikan iaitu menerusi gerakan Perlis Hope.

Tempoh hari di saat kemenangan Zohran Mamdani diumumkan, ada kekeliruan ‘hashtag‘ berlaku di mana ungkapan Madani juga disebut. Membaca kenyataan atau poun di atas ternyatalah jelas, jauh panggang dari api, atau jauh Mamdani dari Madani.

Apa pun Zohran Mamdani tidak boleh melakukan kesilapan. Besar risikonya, kerana ia membawa nama-nama besar dan mulia di atas pundaknya. Semoga dia dapat melakukan misinya. Dan semoga dia dilindungi untuk melakukannya. Kerana tentu musuh seperti Trump, kapitalis Barat dan Zionis mengintai setiap langkahnya.

Doa seluruh insan progresif untuk beliau.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.