Carilah ‘cerita lain’, isu pengangguran; anak muda, Sanusi diberitahu

Carilah ‘cerita lain’, isu pengangguran; anak muda, Sanusi diberitahu

Dua pemimpin tinggi PH-BN Kedah meminta MB negeri itu bercakap mengenai perkara lain yang tidak menyentuh sentimen 3R.

Mahfuz Omar dan Mahdzir Khalid menasihatkan Sanusi Md Nor mencari ‘cerita lain’ daripada terus memainkan sentimen 3R.
PETALING JAYA:
Sanusi Md Nor dinasihat mencari “cerita lain” terutama mengurangkan pengangguran di Kedah, isu pembangunan termasuk keperluan anak muda berbanding memainkan sentimen 3R (agama, kaum, dan institusi raja).

Perkara itu disuarakan dua pemimpin tinggi Pakatan Harapan-Barisan Nasional negeri, supaya menteri besar Kedah itu bercakap mengenai perkara lain kerana hak Melayu dan Islam dijamin Perlembagaan.

Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar, berkata di negeri itu terdapat lebih 130,000 orang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk mencari kerja.

“Terdapat 135,000 orang yang mendaftar dengan Perkeso Kedah untuk mencari pekerjaan. Beliau sepatutnya memberi tumpuan untuk menerangkan apa yang PN (Perikatan Nasional) tawarkan untuk menyelesaikan pengangguran dalam kalangan rakyat Kedah,” katanya menurut Harian Metro.

Sebaliknya, beliau berkata Sanusi cuba mengalih perhatian orang ramai dengan mengupas isu 3R dengan membuat kenyataan mengenai orang bukan Islam dicemari rasuah.

Mahfuz yang juga naib presiden Amanah mendakwa, Sanusi dilihat cuba “menutup amalan rasuah PN”, berikutan tindakan PAS tidak merayu terhadap keputusan petisyen pilihan raya kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Sanusi ketika ditemui bual dalam podcast “Keluar Sekejap” bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan kelmarin berkata, individu bukan Islam paling ramai ditangkap kerana memberi dan menerima rasuah.

Baru-baru ini, pengarah pilihan raya PN itu sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila menyentuh perkenan sultan berkait pelantikan “menteri besar cokia (tiada kualiti)”.

Sementara itu, Pengerusi BN Kedah Mahdzir Khalid, menasihatkan Sanusi bercakap mengenai pembangunan negeri dan keperluan orang muda.

“Dia boleh cerita buat untuk orang muda, orang muda sekarang nak satu keadaan harmoni dan stabil, jaminan masa depan, ada makan atas meja, dia (golongan muda) kena bayar duit rumah, duit kereta, anak dia sekolah, anak dia kecil, untuk Kedah apa dia (Sanusi) jamin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.