Pinda undang-undang kesihatan mental, kata Ramkarpal

Pinda undang-undang kesihatan mental, kata Ramkarpal

Timbalan menteri itu berkata definisi ‘ketakupayaan mental’ wajar merangkumi kemurungan, demensia.

Peluasan definisi itu akan membolehkan Putrajaya memenuhi keperluan mereka yang mungkin mengalami ketakupayaan mental, kata Timbalan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Ramkarpal Singh. (Gambar Freepik)
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Ramkarpal Singh menggesa Akta Kesihatan Mental 2001 dipinda untuk mendefinisikan “ketakupayaan mental”.

Ramkarpal berkata definisi itu patut merangkumi demensia, Parkinson, Alzheimer, dan kemurungan.

Katanya, ini akan membolehkan Putrajaya memenuhi keperluan mereka yang mungkin mengalami ketakupayaan mental pada peringkat tertentu kehidupan mereka.

“Ini seterusnya membolehkan pengurusan hal ehwal mereka dengan lebih baik. Saya fikir ini masih satu kekurangan di negara ini pada peringkat ini,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia, hari ini.

Ramkarpal berkata, buat masa ini akta berkenaan tidak mentakrifkan “ketakupayaan mental”. Disebabkan itu, katanya, ramai individu tidak mempunyai kawalan terhadap bagaimana hal ehwal mereka akan diuruskan sekiranya mengalami ketakupayaan mental.

“Buat masa ini akta itu hanya mendefinisikan ‘gangguan mental’ dan menyatakan prosedur bagaimana menangani mereka yang mengalami keadaan itu,” katanya.

Sementara itu, ketua Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan Dr Nurashikin Ibrahim berkata, pengamal perubatan mendefinisikan “keupayaan mental” sebagai keupayaan membuat keputusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.