PH guna slogan ‘Kita Selangor’ tarik sokongan, kata Amirudin

PH guna slogan ‘Kita Selangor’ tarik sokongan, kata Amirudin

Slogan 'Kita Selangor' diperkenalkan sebagai inspirasi melawan Covid-19 dan kelembapan ekonomi pada 2021.

Amirudin Shari berkata, slogan ‘Kita Selangor’ sarat dengan pengalaman, rekod perkhidmatan dan realiti diterima secara nyata oleh rakyat.
SHAH ALAM:
Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan slogan “Kita Selangor” sebagai tawaran kepada rakyat dalam kempen PRN, kata Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari.

Menteri besar Selangor itu berkata, “Kita Selangor” membawa mesej penting dan tersendiri kepada rakyat negeri itu serta digunakan secara meluas dalam program dan inisiatif dilaksanakan kerajaan sejak diperkenalkan semasa pandemik Covid-19 melanda negara.

Beliau berkata, slogan membawa aspirasi rakyat Selangor yang sentiasa bersatu padu dalam apa jua keadaan itu akan ditambah perkataan atau ayat tertentu bagi disesuaikan dengan semangat dalam berkempen.

“Bagi PH, ‘Kita Selangor’ sarat dengan pengalaman, rekod perkhidmatan dan realiti diterima secara nyata oleh rakyat ketika ini,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Slogan “Kita Selangor” yang diperkenalkan sebagai inspirasi melawan Covid-19 dan kelembapan ekonomi pada 2021 mula digunakan secara rasmi dalam surat, urusan dan program rasmi kerajaan negeri mulai November 2022.

Sejak itu, slogan tersebut terus digunakan dalam pelbagai acara, program dan inisiatif kerajaan seperti sambutan kemerdekaan peringkat negeri, pakej bantuan serta rangsangan ekonomi, jelajah kemasyarakatan, selain turut diletakkan di belakang jersi ketiga pasukan bola sepak Selangor sebagai simbolik meraikan penyokong sentiasa di belakang skuad Gergasi Merah itu.

Antara contoh program dan inisiatif digagaskan daripada slogan “Kita Selangor” ialah “Kita Selangor Teguh Bersama” sempena sambutan kemerdekaan, Pakej Kita Selangor 2.0 berkaitan ekonomi dan Jelajah Kita Selangor, iaitu program pimpinan kerajaan negeri turun bertemu masyarakat.

Mengulas penggunaan slogan “Selangor Baharu” oleh Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN, Amirudin yang menerajui kerajaan Selangor sejak Jun 2018 berkata, slogan itu tidak lebih sekadar propaganda politik.

Sambil mempersoalkan nilai dan motivasi di sebalik “Selangor Baharu”, beliau hairan mengapa sehingga kini tiada perincian diberikan sejak ia diperkenalkan.

Mei lalu, PN Selangor memperkenalkan praslogan “Selangor Baharu” sebagai tawaran PAS-Bersatu-Gerakan kepada rakyat negeri itu bagi menghadapi PRN.

Hari pengundian untuk PRN Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos ini, manakala penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal 8 Ogos nanti.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi dan sebelum DUN dibubarkan pada 23 Jun lalu, PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dua, manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang Adun bebas.

Satu lagi kerusi iaitu DUN Batang Kali diisytiharkan kosong selepas wakil rakyatnya tidak menghadiri sidang DUN lebih enam bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.