NGO gesa calon PRN bawa isu alam sekitar, perubahan iklim

NGO gesa calon PRN bawa isu alam sekitar, perubahan iklim

MyHutan mahu calon mencadangkan penambahbaikan dasar untuk bendung krisis pencemaran alam.

Tinjauan MyHutan mendapati 83% responden anak muda yang bakal mengundi memahami kepentingan isu perubahan iklim. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa calon PRN mengangkat isu alam sekitar dan perubahan iklim yang memerlukan penyelesaian segera.

Menurut Tindakan Pemuda untuk Hutan Malaysia (MyHutan), setiap calon perlu mencadangkan penambahbaikan dasar dan undang-undang bagi membendung krisis pencemaran alam demi kesejahteraan generasi masa depan.

Katanya, menerusi tinjauan dilakukan 83% responden anak muda yang bakal mengundi memahami kepentingan isu perubahan iklim dan gusar kesan yang bakal dirasai pada masa depan.

“Sekitar 39% belia merasa bahawa kerajaan dipercayai boleh untuk menyelesaikan isu iklim di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

NGO itu juga mengemukakan lima tuntutan terhadap calon sebagai bahan kempen iaitu moratorium dan semakan undang-undang pembalakan dan pelaksanaan dasar pengangkutan awam serta perancangan bandar berpaksikan pejalan kaki.

Dasar fiskal termasuk instrumen cukai karbon dan kewangan alam sekitar, merombak undang-undang pertanian memfokuskan petani kecil moden sebagai keselamatan makanan dan komitmen 50% bangunan kerajaan dijana tenaga boleh diperbaharui.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.