Malaysia tak boleh jadi sekular total, kata PM

Malaysia tak boleh jadi sekular total, kata PM

Anwar Ibrahim berkata, pendirian kerajaan adalah negara mempunyai unsur sekular tetapi nilai agama mesti disematkan.

Anwar Ibrahim berkata Malaysia bukan negara autokratik yang mengenakan undang-undang Islam ke atas orang bukan Islam.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular dengan berkata, istilah itu mesti difahami dengan betul.

Beliau berkata, berdasarkan pemahamannya, konsep sekularisme “laïcité” yang menganjurkan pemisahan antara negara dan agama secara total, “tidak boleh diterima”, bukan sahaja bagi dirinya sebagai orang Islam, tetapi juga bagi semua rakyat Malaysia.

“Negara mempunyai unsur sekular tetapi nilai agama mesti disematkan (dalam sistem itu), itu pendirian kita,” katanya ketika sesi soal jawab pada Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia.

“Apabila anda mula mengisytiharkan Malaysia sebagai negara sekular, rakyat akan berkata, bagaimana pula dengan Islam sebagai agama persekutuan?

“Bagaimana (pula) dengan jabatan Islam dan bagaimana untuk menyesuaikannya dengan sultan sebagai ketua agama di negara ini?”

Konsep “laïcité” dari Perancis ialah konsep sekularisme yang tidak mengalakkan penglibatan agama dalam hal ehwal kerajaan, terutama pengaruh agama dalam merumus dasar.

Anwar berkata, orang ramai dan majoriti umat Islam telah diberitahu bahawa sekularisme bermaksud pemisahan sepenuhnya negara dan agama, berdasarkan pengaruh empayar Rom dan sejarah Eropah.

“Itu bukan bagaimana ia harus difahami,” katanya.

“Jika ingin mempopularkan istilah itu, itu adil, tetapi pastikan istilah itu difahami dan dipelajari oleh orang ramai.

“Jika tidak, akan berlaku percanggahan antara naratif dan wacana yang dibawa oleh golongan elit pemerintah dan sentimen rakyat.

“Rakyat umum beragama Islam menganggap sekularisme sebagai sesuatu yang anti-agama. Sebab itu apabila saya katakan kita bukan sekular, saya merujuk kepada konteks itu.”

Anwar berkata, Malaysia juga bukan negara autokratik yang mengenakan undang-undang Islam ke atas orang bukan Islam.

Beliau menjawab soalan Andrew Khoo, pengerusi bersama jawatankuasa undang-undang perlembagaan Majlis Peguam, bahawa mengapa beliau sebelum ini menyatakan dalam temu bual dengan RTM bahawa sekularisme tidak boleh diiktiraf oleh kerajaan perpaduan.

Pada Januari, Anwar berkata dalam program RTM “Naratif Khas Bersama Perdana Menteri”, konsep negara sekular dan ideologi komunis tidak akan diiktiraf oleh kerajaan perpaduan.

Menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu bersifat “delusi”, beliau berkata ia hanya dibangkitkan oleh pihak tertentu untuk menyebarkan pembohongan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.