
Peguam Lim Wei Jiet berkata, Hakim Amarjeet Singh membenarkan permohonan itu semasa prosiding dalam kamar mahkamah hari ini.
Saman itu kini ditetapkan untuk pengurusan kes pada 24 Julai.
Bulan lepas, penduduk T Chakaravarthi, Kum Koo Ji, S Saktiseelan dan Loke Yin Pong memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap kerajaan negeri dan persekutuan berhubung projek berkontroversi itu.
Mereka menamakan ketua pengarah perancangan bandar dan desa serta pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor sebagai responden.
Keempat-empat pemohon mahu mahkamah menghendaki kerajaan menzahirkan laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Trafik (TIA) yang dikemukakan oleh pemaju, PJD Link (M) Sdn Bhd.
Mereka juga mahu kerajaan mendedahkan minit perbincangan kumpulan fokus, reka bentuk terperinci projek, serta perjanjian konsesi antara PJD Link dan kerajaan.
Mereka turut memohon deklarasi bahawa sebahagian daripada Akta Rahsia Rasmi 1972 bercanggah dengan perlembagaan kerana melanggar hak penduduk untuk mendapatkan maklumat bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Pada September 2020, kerajaan Selangor meluluskan secara dasar projek PJD Link, tertakluk kepada penerimaan laporan EIA, SIA dan TIA.