Bentang karpet merah jika benar nak melabur RM500 bilion, kata Tengku Zafrul

Bentang karpet merah jika benar nak melabur RM500 bilion, kata Tengku Zafrul

Tengku Zafrul Aziz menggesa bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa ada pelaburan sedemikian untuk berkongsi butiran pelabur seperti dimaksudkan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, berkata pelaburan tertinggi pernah direkodkan negara dalam tempoh setahun melibatkan RM309 bilion. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Layanan karpet merah akan disediakan jika benar ada pelabur sanggup melabur RM500 bilion di Langkawi, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz.

Katanya, jika benar jumlah pelaburan itu, maka ia menjadi sejarah pelaburan terbesar bagi Malaysia.

Beliau berkata, tidak pernah ada pelaburan RM500 bilion pernah diluluskan dalam sejarah Malaysia, termasuk ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri sebanyak dua kali.

Pelaburan tertinggi negara keseluruhan pernah direkodkan RM309 bilion untuk tempoh setahun.

“Saya tak kisah siapa yang membawa masuk pelaburan itu sama ada Dr Mahathir, kerajaan atau pembangkang, sebab kalau pelaburan masuk, yang terima manfaat adalah rakyat,” katanya dalam hantaran video di Facebook.

“Jadi, saya nak minta jasa baik Dr Mahathir kongsi butiran pelabur ini. Sedangkan pelabur nak melabur juta-juta pun kita sambut dengan tangan terbuka, inikan pula nak labur RM500 bilion, memang kita bentang karpet merah dari lapangan terbang sampai ke hotel,” katanya.

Pada Sabtu, Mahathir mendakwa ada bertemu dengan beberapa individu yang berminat melabur RM500 bilion di Langkawi.

Sebaliknya, mereka memutuskan ke Indonesia, Vietnam, dan Filipina kerana didakwa Mahathir “tiada menteri yang sudi berjumpa”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.