EIA didakwa tak dipamer secara terbuka, Nik Nazmi tunggu laporan berkait projek sawit di Pekan

EIA didakwa tak dipamer secara terbuka, Nik Nazmi tunggu laporan berkait projek sawit di Pekan

NGO RimbaWatch menggesa Jabatan Alam Sekitar membatalkan kelulusan bagi EIA bagi sebuah projek sawit di Pahang, yang didakwa tidak dipamerkan secara terbuka.

(Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim senang menunggu laporan berkait sebuah projek penanaman sawit di Pahang, susulan dakwaan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi projek itu tidak dipamerkan secara terbuka.

Sebelum ini, NGO RimbaWatch menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) membatalkan EIA bagi projek di Pekan itu, selepas mendakwa ia tidak dipamerkan seperti yang dikehendaki garis panduan.

“Saya tahu perkara ini dan tengah dapatkan laporan untuk tindakan selanjutnya,” kata Menteri Nik Nazmi Nik Ahmad pada sidang media selepas mesyuarat panel penasihat perubahan iklim di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

RimbaWatch dalam kenyataan mempersoalkan bagaimana EIA bagi projek itu diluluskan, selepas ia menerima laporan sebuah syarikat telah mula membersihkan hutan paya gambut berhampiran Kampung Orang Asli Air Hitam dan Tanjung Keruing.

Ia mahu JAS menghentikan projek itu dengan mendakwa pembersihan tanah gambut untuk minyak sawit bertentangan dengan Pelan Tindakan Kebangsaan Tanah Gambut dan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025.

Menurutnya, berdasarkan data satelit Global Forest Watch kira-kira 310 hektar hutan telah ditebang, kurang 100 meter dari Kampung Orang Asli Air Hitam.

RimbaWatch turut memaklumkan penduduk kampung yang terjejas membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, polis, dan pengusaha bahawa projek itu menceroboh tanah adat mereka.

Dalam pada itu, Nik Nazmi kesungguhan kementerian menangani ancaman terhadap hutan dapat dilihat melalui pindaan Akta Perhutanan Negara tahun lepas.

Dewan Rakyat pada Julai tahun lepas meluluskan rang undang-undang yang membolehkan pesalah hutan simpan kekal berdepan hukuman lebih berat.

“Kami tahu tidak boleh mengambil mudah kerana terdapat ancaman terhadap hutan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.