Ahli perniagaan hadapi kes rasuah RM15 juta mohon batal tuduhan

Ahli perniagaan hadapi kes rasuah RM15 juta mohon batal tuduhan

Sim Choo Thiam memohon dilepas tanpa dibebaskan, selepas mendakwa siasatan tidak lengkap.

Sim Choo Thiam menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima RM15 juta daripada rakan perniagaan untuk mendapatkan projek daripada KDN. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang ahli perniagaan bergelar “Datuk Seri” yang didakwa meminta dan menerima RM15 juta daripada ahli perniagaan lain untuk mendapatkan projek daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memfailkan permohonan untuk mengetepikan pertuduhan.

Sim Choo Thiam, yang memfailkan permohonannya di Mahkamah Sesyen dua hari lalu, memohon untuk dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Beliau mendakwa pihak pendakwaan telah melanggar kewajipan berkanunnya di bawah Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Seksyen 153 menghendaki pihak pendakwaan memastikan pertuduhan mengandungi butir-butir mengenai masa, tempat dan orang; manakala Seksyen 154 pula menyatakan jenis kes terhadap tertuduh juga mesti dinyatakan untuk memberi notis mencukupi mengenai kes terhadapnya.

“Selanjutnya, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam kes ini, tidak lengkap,” kata Sim dalam pemfailan mahkamah yang dilihat oleh FMT.

Ahli perniagaan berusia 53 tahun itu juga memfailkan permohonan alternatif supaya pihak pendakwaan menyatakan secara bertulis fakta yang memihak kepada pihak pembelaan, di bawah Seksyen 51A(1)(c) KTJ sebagai persediaan membela diri.

Beliau berkata SPRM hanya merakam keterangan bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainudin pada petang 10 Mei, selepas beliau didakwa lebih awal pada hari yang sama.

Katanya, pernyataan beramarannya kepada SPRM, yang direkod pada 16 dan 28 Feb, mengandungi pelbagai kenyataan ekskulpatori yang bercanggah dengan kandungan kesalahan seperti yang dinyatakan dalam empat pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Peguam yang mewakili Sim, Low Wei Loke, berkata kes itu akan dipanggil untuk pengurusan kes pada 31 Julai, di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Pada 10 Mei lalu, Sim minta dibicarakan terhadap empat pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menuntut RM15 juta daripada Hep Kim Hong di Jalan Dutamas 1 pada Jun 2021.

Pihak pendakwaan mendakwa jumlah itu bertujuan sebagai dorongan untuk Hamzah membantu syarikat Hep, Asia Coding Sdn Bhd, dalam mendapatkan projek daripada kementerian.

Sim berdepan tiga lagi pertuduhan melibatkan penerimaan wang tunai RM15 juta daripada Hep antara 19 Julai dan 31 Julai 2021.

Bulan lalu, Rozina menetapkan perbicaraan berlangsung dari 6 hingga 17 Mei tahun depan.

Sim turut diwakili Hisyam Teh Poh Teik, Kee Wei Lon, dan Hannah Kam selaku peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.