
Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Sahabudin Abd Manan berkata perolehannya sedang dijalankan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis yang akan menilai tender dikemukakan 129 syarikat.
“PDRM dijangka memperoleh kamera badan selepas sembilan bulan surat setuju terima oleh syarikat yang berjaya memperoleh tender,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Sahabudin berkata, perolehan itu mengambil masa kerana perlu melalui proses tertentu bagi memastikan pemberian tender mengikut tatakelola sewajarnya.
“Malah, pemilihan kamera badan bergantung kepada keperluan spesifikasi ditetapkan. Ini bagi membantu penguatkuasaan Unit Rondaan Bermotor (URB) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) serta trafik dalam menangani jenayah komuniti.”
Dalam perolehan fasa pertama pada suku pertama 2024, katanya, RM30 juta diluluskan kerajaan yang turut meliputi sistem, peralatan sokongan dan latihan untuk penggunaan kamera badan itu.
April lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, penggunaan kamera badan oleh anggota polis di seluruh negara dijangka dilaksanakan pada suku kedua atau ketiga tahun ini.
Katanya, penggunaan kamera badan itu akan memudahkan pengumpulan bahan bukti dan meningkatkan integriti pasukan polis, tetapi ia perlu mengelak manipulasi oleh mana-mana pihak.
Beliau berkata, perolehan dalam fasa terakhir melibatkan penelitian jawatankuasa penilaian dan memaklumkan spesifikasi kamera itu dibangunkan, selain pengeluaran dokumen tender.