
Menerusi ciapan di Twitter pada 7.22 malam, Rapid KL berkata, kelewatan berlaku disebabkan sebuah tren mengalami tekanan hidraulik rendah di stesen Maluri.
Memohon maaf atas kesulitan dialami pengguna, Rapid KL memaklumkan bahawa kerja baik pulih sedang dijalankan.
Pengguna Twitter, @RoadQuery bertanya sama ada ini masalah sama yang dihadapi tempoh hari.
“Belum selesai lagi?” soalnya.
Seorang lagi pengguna Twitter @nurhayatimfuad meminta pihak Rapid KL membuat pengumuman yang jelas berhubung masalah ini.
“Apa guna reka bentuk kemudahan di stesen yang lengkap dengan sistem siaran umum dan sebagainya, (tetapi) tak guna?” katanya.
Sementara itu, warganet @sewjianhao mengeluh bahawa Rapid KL menyukarkan perjalanan pulang pengguna.
Dalam ciapannya pada 7.38 malam, Rapid KL berkata, perkhidmatan tren alternatif telah diaktifkan, dengan tren dari Kwasa Damansara akan berpatah balik di Maluri, dan tren perantara beroperasi dari Maluri ke Taman Mutiara.
Tambahnya, tren dari Taman Mutiara akan berpatah balik ke Kajang.
Pada 8.27 malam, Rapid KL berkata, tren dari Kwasa Damansara akan berpatah balik di Muzium Negara, dan tren perantara akan bergerak dari Muzium Negara ke Merdeka.
Sementara itu, tren perantara juga bergerak dari Merdeka ke Cochrane, dan tren dari Cochrane akan berpatah balik ke Kajang.
Pengguna Twitter @WanAFaris bertanya: “Sekarang ni dah OK atau tak? Dah boleh naik MRT dari Pasar Seni terus ke Kajang atau tak?
“Staf kat kaunter cakap OK, staf dalam tren cakap cari alternatif lain. Jangan buang masa orang.”
Laluan alternatif yang disediakan Rapid KL bagaimanapun dilihat mengelirukan pengguna.
“Rapid KL nak kita semua (buat) ‘treasure hunt’,” kata @KhidirHanif berseloroh.