
Langkah ini bagi memudahkan misi sukarelawan membawa balik undi semasa PRN nanti, katanya.
“Untuk 6 PRN ini, kami lega ada kumpulan sukarelawan rakyat seperti Global Bersih dan Vote Malaysia (yang) akan sekali lagi menggerakkan jaringan global dalam mengumpulkan sampul undi pos luar negara,” kata pengerusinya, Thomas Fann kepada FMT.
“Usaha yang mulia ini perlu disokong sepenuhnya (dan) kami menggesa Kementerian Luar mengarahkan Malaysia Halls (Dewan Malaysia) membenarkan sukarelawan menggunakannya sebagai pusat pengumpulan kertas undi pos.”
Pada PRU15, Vote Malaysia dilaporkan berjaya membawa pulang 35,000 kertas undi rakyat Malaysia yang berada di luar negara.
Fann turut berpendapat, tempoh berkempen bagi PRN seharusnya dilanjutkan minimum sehingga 21 hari bagi memastikan pengundi pos mempunyai masa yang mencukupi untuk menghantar pulang undi mereka.
Menurutnya, banyak aduan diterima bahawa pengundi pos hanya menerima sampul undi hampir atau selepas hari pengundian.
Jika tempoh kempen tidak dapat dipanjangkan, Bersih menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mereformasi sistem undi pos sepenuhnya.
“(SPR) perlu membenarkan pengundi pos memuat turun kertas undi dan dokumen lain yang diperlukan dalam format PDF untuk memansuhkan keperluan SPR mengepos kertas (undi) kepada pengundi pos,” katanya.
Tambahnya, cara ini juga dapat menghapuskan kesilapan pengkeranian yang biasa berlaku dalam proses manual, selain menjimatkan kos pengurusan oleh SPR.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Izzat Afifi Abdul Hamid mengalu-alukan pengumuman tarikh PRN di enam negeri tersebut kerana ia jatuh dalam tempoh cuti semester panjang bagi pelajar universiti.
Namun katanya, pengundi kali pertama khususnya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru sahaja mendaftar masuk ke dalam program Matrikulasi dan Asasi harus diberi kemudahan, seperti dari segi cuti dan pengangkutan.
Hari ini, SPR mengumumkan hari penamaan calon bagi PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu pada 29 Julai, pengundian awal pada 8 Ogos, sementara hari mengundi pada 12 Ogos.