
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata, perkara itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail kepadanya pagi tadi, selaku kementerian yang bertanggungjawab menjaga kebajikan golongan itu.
Beliau berkata perbincangan berkenaan, terutama berhubung Seksyen 1(e) membabitkan kedudukan kanak-kanak terpinggir atau terbuang sangat penting agar mereka mendapat perlindungan sewajarnya.
“Kebetulan saya bercakap dengan Menteri Dalam Negeri (Saifuddin Nasution) pagi tadi dan beliau amat responsif… saya banyak terima respons daripada pihak NGO.
“Oleh kerana saya menjaga bahagian kanak-kanak, saya diminta membantu hal ini membabitkan perlindungan kepada mereka terutama Seksyen 1(e) yang menjadi kegusaran mereka.
“Kita masih ada masa … saya harap ada perkembangan baharu melalui sesi perjumpaan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Peringkat Kebangsaan 2023.