4,000 lesen PSV percuma ditawar kepada golongan B40, kata Loke

4,000 lesen PSV percuma ditawar kepada golongan B40, kata Loke

Penawaran lesen percuma bagi pemohon lesen PSV e-panggilan, teksi dan bas di seluruh negara itu melibatkan peruntukan RM2 juta.

Penawaran lesen PSV percuma bagi bas adalah antara inisiatif kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan pemandu bas yang kronik, kata menteri pengangkutan.
BATANG KALI:
Kerajaan menawarkan 4,000 Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) secara percuma kepada golongan B40 mengikut syarat-syarat yang ditetapkan menerusi program MyPSV, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 3,500 adalah untuk pemohon lesen PSV e-panggilan dan teksi manakala 500 lagi ditawarkan untuk lesen PSV bas di seluruh negara, melibatkan peruntukan RM2 juta.

Loke berkata, selain membantu golongan B40 yang perlu menanggung kos RM2,590 untuk mendapatkan lesen PSV bas, inisiatif berkenaan adalah bagi memenuhi keperluan industri yang mengalami kekurangan pemandu bas pada tahap kronik.

“Negara memerlukan ribuan pemandu bas bukan sahaja Prasarana, malah juga syarikat bas ekspres dan bas henti-henti di seluruh negara,” katanya selepas melancarkan Program MyPSV Peringkat Kebangsaan Tahun 2023.

“Saya difahamkan oleh beberapa syarikat bas ekspres bahawa memang mereka mengalami kekurangan pemandu dan kita tahu antara faktor yang tidak menjadi tarikan kepada orang ramai untuk menjadi pemandu bas adalah gaji rendah.”

Loke berkata inisiatif itu ialah tanggungjawab dan komitmen kerajaan untuk membuka peluang dan ruang kepada masyarakat bagi mempertingkatkan taraf sosioekonomi serta pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan dalam sektor pengangkutan perkhidmatan awam.

“Selain itu, program ini secara langsung akan menyokong dan menambah baik kelangsungan sektor pengangkutan awam dan pelancongan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, program MyPSV ini dapat melahirkan pemandu bas, teksi dan e-hailing yang kompeten dan selamat kerana mereka akan menjalani latihan dan ujian untuk memastikan kompetensi sebelum diberi lesen dan dibenarkan membawa kenderaan perkhidmatan awam.

“Penetapan kesemua modul kursus ujian dan latihan yang dihasilkan adalah betul-betul kompeten dan menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas insiden kekecohan melibatkan seorang menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, Loke secara ringkas berkata, proses kemasukan pelancong asing khususnya di KLIA akan ditambah baik kerana ia melibatkan isu keselamatan.

Beliau berkata, perkara ini kerana kerajaan pada masa sama turut mahu menjadikan Malaysia sebuah negara yang mesra pelancong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.