
Bekas pelumba MotoGP, Shahrol Yuzy berkata, strategi jangka pendek, khasnya operasi penguatkuasaan biasa, gagal membanteras aktiviti mat rempit.
“Di Jepun, kanak-kanak didedahkan kepada pendidikan keselamatan jalan raya pada usia muda. Jadi, mungkin tiba masanya kerajaan masukkan ini dalam sukatan pelajaran sekolah kita,” katanya kepada FMT.
Beliau menekankan kesedaran keselamatan jalan raya perlu bermula pada usia muda dan secara berterusan akan membentuk cara pemikiran betul apabila kanak-kanak meningkat remaja.
Katanya, generasi baharu mat rempit – kebanyakannya remaja – akan muncul setiap tahun bagi menggantikan pendahulu mereka yang meninggalkan perlumbaan jalanan.
“Jika kita mahu melihat perubahan, kita perlu mula memikirkan cucu kita yang akan menjadi remaja suatu hari nanti.”
Jun lalu, Harian Metro melaporkan pengendali PLUS mengenal pasti 19 laluan dan lokasi yang menjadi kegemaran mat rempit.
Ia termasuk Lebuhraya Butterworth-Kulim, Jambatan Pulau Pinang, laluan Bukit Raja-Shah Alam dan Senawang-Seremban.
Melalui Op Samseng Jalanan bulan lalu, polis menahan 284 individu terdiri daripada pelumba dan penonton yang didenda atas pelbagai kesalahan jalan raya.
Tetapi, bekas pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azisman Alias berkata, polis tidak patut memikul tanggungjawab membendung aktiviti mat rempit sendiri.
“Apa yang kita lakukan sekarang hanya tertumpu kepada penguatkuasaan terhadap mat rempit. Tetapi, polis khasnya pegawai trafik ada banyak tugas lain. Jadi, bila ini akan berakhir?”
Ketika polis dibebani operasi penguatkuasaan sedemikian, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hanya menjalankan “beberapa operasi” sedangkan mereka diberi kuasa untuk bertindak di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan.
Beliau mencadangkan pendekatan bersepadu membabitkan Kementerian Pengangkutan, JPJ, polis dan Kementerian Dalam Negeri bagi menangani budaya mat rempit, termasuk meminda akta berkaitan bagi menyasarkan kumpulan itu.