Tiada pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia di N Sembilan, kata kementerian

Tiada pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia di N Sembilan, kata kementerian

Kementerian Kesihatan mengesahkah satu video tular di TikTok adalah berkaitan program eradikasi Malaria bukannya kawalan denggi.

Kementerian Kesihatan berkata nyamuk Aedes berWolbachia tidak memberi kesan sampingan kepada nyamuk atau persekitaran dan tidak diubahsuai secara genetik. (Gambar Pixabay)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan ada aktiviti pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia bagi mengawal kes denggi di Negeri Sembilan seperti yang didakwa dalam satu video tular di TikTok.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Norhayati Rusli mengesahkan video klip yang tular itu adalah berkaitan program eradikasi Malaria, dan bukannya program kawalan denggi seperti yang didakwa.

“Nyamuk Aedes berWolbachia tidak memberi kesan sampingan kepada nyamuk atau persekitaran dan tidak diubahsuai secara genetik.

“Hasil penyelidikan di Malaysia dari 2017 hingga 2019 menunjukkan penurunan kes denggi di lokaliti pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia di antara 50% hingga 80% berbanding lokaliti tanpa pelepasan nyamuk berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kaedah tersebut turut dilaksanakan di beberapa negara seperti Australia, Indonesia dan Brazil yang menunjukkan kes di antara 70% hingga 76% di lokaliti pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia.

“Di Malaysia, sehingga kini operasi ini telah dilaksanakan di 7 negeri melibatkan 28 lokaliti.

“Sebanyak 16 daripada 19 lokaliti pelepasan (84.2%) telah menunjukkan tren penurunan kes demam denggi di antara 33% hingga 100%. Satu daripada baki 3 lokaliti kekal tiada kes denggi dan 2 lokaliti lagi tiada peningkatan kes denggi,” katanya.

Katanya, Wolbachia adalah sejenis bakteria yang disuntik pada nyamuk Aedes untuk merencatkan replikasi virus denggi sekali gus menghalang penularan virus itu.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat yang tepat berkaitan operasi pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia di Malaysia dari semasa ke semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.