Kereta bertembung lori tangki, 2 beranak maut

Kereta bertembung lori tangki, 2 beranak maut

Azirul Azeem Mazri maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala, manakala anaknya berusia 10 bulan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Rompin.

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa tersepit dalam kereta. (Gambar JBPM Pahang)
PETALING JAYA:
Seorang bapa bersama anak lelakinya berusia 10 bulan maut dalam kemalangan di KM145 Jalan Kuantan-Johor Bahru di Kuantan, Pahang awal pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira 1.15 pagi itu, peniaga berusia 30 tahun dari dari Pasir Gudang, Azirul Azeem Mazri meninggal dunia akibat parah di bahagian kepala, selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki minyak.

Bayinya, Muhammad Adhwa Azirul Azeem yang turut parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Rompin.

Ketua Polis Rompin, Azahari Mukhtar berkata, isteri mangsa, Farah Nasuha Johari, 30, yang juga guru dilaporkan selamat.

Katanya, pemandu lori tangki, Mohamad Fahmi Che Ali, 30, dari Kuala Terengganu, cedera ringan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa sekeluarga yang menaiki Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala Kuantan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung lori tangki minyak dari arah Kuantan menghala Johor Bahru,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat pemandu kereta yang tersepit dalam keretanya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.