
Ketua Menteri Chow Kon Yeow ketika ditemui di luar pekarangan Seri Mutiara pagi ini berkata, beliau telah mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri Ahmad Fuzi Abdul Razak bagi tarikh pembubaran DUN seperti yang dicadangkannya.
“Saya telah mendapat perkenan (Yang di-Pertua) untuk menandatangani proklamasi membubar DUN untuk membolehkan PRN yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (dijalankan) setelah semua negeri membubarkan Dewan masing-masing.
“Saya merasa lega selepas perkara ini sudah berakhir untuk kita buat persediaan PRN. Pembubaran DUN Pulau Pinang berkuatkuasa pada 28 Jun 2023,” katanya, lapor Sinar Harian.
Chow dijadual mengadakan sidang akhbar mengenai pembubaran DUN Pulau Pinang pada 2.30 petang ini di Pejabat Ketua Menteri di Komtar, yang dijangka turut dihadiri semua Adun.
Terdahulu, Chow tiba di kediaman rasmi Yang di-Pertua Pulau Pinang di Seri Mutiara pada 7.53 pagi untuk bertemu Ahmad Fuzi bagi mendapatkan persetujuan membubarkan DUN.
Mandat lima tahun DUN Pulau Pinang selepas PRU14 pada 2018 sepatutnya berakhir pada 2 Ogos ini.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN, dengan PH memegang 33 kerusi; Bersatu (empat); Barisan Nasional (dua) dan PAS (satu).
Enam negeri akan mengadakan PRN tahun ini, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.