
Sumber PH yang enggan dinamakan berkata, parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu dijangka mengumumkan rancangan PRN mereka hari ini.
“Mereka pada dasarnya akan bersama ahli Umno yang digantung atau dipecat,” kata sumber itu.
Katanya, Muda akan menyasarkan untuk memecahkan undi pada PRN, yang “akan menjadi masalah di Selangor” kerana parti itu mempunyai lebih ramai penyokong di sana berbanding kawasan lain dalam negara.
Seorang lagi pemimpin PH berkata, Muda tidak boleh dipersalahkan mahu menyertai PRN kerana parti itu tidak pernah dijemput ke mesyuarat PH.
“Mereka sentiasa mahu terlibat, tetapi mereka tidak diberikan perhatian biarpun telah mengemukakan permintaan.”
Tetapi, sumber itu berkata, PH tidak begitu bimbang dengan Muda kerana sokongan parti itu semakin merosot.
“Pada PRU 2022, majoriti Syed Saddiq berkurangan. Ini bukti populariti mereka semakin berkurangan,” kata sumber itu.
Sementara itu, sumber daripada Muda berkata, akan ada pengumuman hari ini, tetapi tidak mendedahkan ia berkaitan apa.
“Ya, kami akan membuat pengumuman pada Isnin.”
Satu lagi sumber Muda berkata, perbincangan untuk menyertai PRN sebagai kuasa ketiga berterusan dan keputusan akan diumumkan tidak lama lagi.
“Mereka (PH) tidak memanggil kami untuk sebarang perbincangan mengenai rundingan sama sekali. Kami mahu mengambil bahagian, tetapi nampaknya mereka tidak menghormati kami.”
Muda memohon untuk menyertai PH sebelum PRU15 pada November lalu.
Rakan komponen PH berselisih pendapat sama ada Muda patut dialu-alukan menyertai gabungan itu. Ada yang berpendapat, parti itu akan menjadi liabiliti dan kemasukannya akan menyukarkan pengagihan kerusi.