Jangan tamak, biar sikit janji menang semua, veteran Umno tegur BN Selangor

Jangan tamak, biar sikit janji menang semua, veteran Umno tegur BN Selangor

Semalam, Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari berkata masih berbaki satu atau dua kerusi gagal dimuktamadkan antara dua gabungan itu.

Setiausaha Agung Veteran Umno Mustapha Yaakub berkata pimpinan BN dan Umno Selangor perlu tumpu kepada usaha mengekalkan kerusi sedia ada. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Veteran Umno menegur Barisan Nasional (BN) Selangor supaya akur jumlah kerusi yang diterima menjelang PRN, dan tidak lagi menuntut lebih banyak kerusi daripada Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub, berkata pimpinan BN dan Umno negeri seharusnya tumpu kepada usaha mengekalkan kerusi sedia ada, selain menambah kekuatan jentera di kawasan lain dalam usaha memenangkan rakan sekutu.

“Jangan kita dok berebut, aku nak banyak, aku tak setuju sebab kamu bagi sikit. Lebih baik kita bertanding sedikit tetapi semua kita menang,” katanya kepada FMT, mengulas rundingan kerusi antara PH dan BN yang sehingga kini belum selesai.

“Buat apa kita tuntut 20-30 kerusi tetapi yang menang hanya lima (kerusi). Lebih baik kita bertanding 10 dan dengan sokongan daripada parti gabungan kita menang semua. Itu kan lebih baik.”

FMT difahamkan, BN Selangor kini mendapat 13 kerusi hasil rundingan bersama PH dan masih berunding untuk menuntut lebih banyak kerusi.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya PH Selangor Mohd Yahya Mat Sahri berkata DUN Gombak Setia dan Kota Damansara, antara kerusi masih dibincangkan antara PH dan BN yang bakal diputuskan pucuk pimpinan parti.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata landskap politik yang dinamik dan berubah ketika ini menyebabkan mana-mana negeri yang memasuki gelanggang pilihan raya perlu kerjasama dua gabungan untuk menang.

“Umno saja menang PH kalah…tak ke mana. PH saja menang, Umno kalah pun tak ke mana kerana nak perintah satu-satu negeri, dua gabungan mesti menang bersama.”

Pada PRU 2018, PH menang 51 daripada 56 kerusi, sementara BN menang empat kerusi dan PAS (1).

Sebelum pembubaran pada 23 Jun, DUN Selangor terbahagi kepada PH (40) menerusi PKR (19), DAP (15), Amanah (6), sementara BN (5), Bersatu (4), PBM (2).

PAS, Pejuang, dan Warisan masing-masing mempunyai satu kerusi, begitu juga wakil bebas. Kerusi Batang Kali juga diisytiharkan kosong selepas wakil rakyatnya daripada Pejuang gagal menghadiri sidang DUN lebih enam bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.