
Fernando Casal Bertoa dari pusat pengajian politik dan hubungan antarabangsa di Universiti Nottingham Malaysia, berkata pembiayaan kerajaan akan mengekalkan jangka hayat parti lebih kecil dan mewujudkan dinamik lebih seimbang antara parti lebih kecil dan besar.
Tetapi, katanya, parti itu perlu memenuhi kriteria tertentu untuk layak mendapat pembiayaan dan beliau mencadangkan ia dinilai berdasarkan prestasi mereka dalam PRU dan perlu meraih sekurang-kurangnya 2% undi popular atau menang sekurang-kurangnya satu kerusi di Dewan Rakyat.
“Sebaik melepasi ambang relevan itu, mereka akan dibiayai kerajaan,” katanya kepada FMT sambil menambah syarat itu penting bagi mengelakkan lebih banyak parti politik ditubuhkan dan tidak membebankan dana kerajaan.

Di Malaysia, cadangan menggubal undang-undang pembiayaan politik berterusan sejak 2022, dengan beberapa pihak berkepentingan menggesa pembiayaan kerajaan dimasukkan dalam cadangan rang undang-undang itu.
Bertoa berkata, undang-undang sedemikian akan menjadi senjata berkesan untuk memerangi rasuah politik dan menggalakkan persaingan sihat antara parti politik.
Bertoa memberi contoh proses demokrasi di Armenia dan Georgia meningkat secara ketara susulan pertukaran kerajaan pada 2003 serta 2018.
“Kerajaan perlu melihat kepada demokrasi baharu dan negara yang menghadapi masalah sama (peralihan kepada demokrasi maju).”
Mei lalu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang mengetuai Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia mengenai Pendanaan Politik, berkata pembiayaan kerajaan akan mengangkat Malaysia menjadi antara negara dengan demokrasi lebih maju.
Tetapi, katanya, pembiayaan kerajaan perlu disertakan perlindungan bagi mengelakkan penyalahgunaannya.
Kerajaan perpaduan semasa terdiri daripada 19 parti, termasuk gabungan politik seperti Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak.