Bentuk blok parti kecil sokong pentadbiran Anwar, kata penganalisis

Bentuk blok parti kecil sokong pentadbiran Anwar, kata penganalisis

Suara Muda, PBM dan Warisan dalam kerajaan akan lebih didengari.

Parti kecil seperti Muda yang diketuai Syed Saddiq boleh membawa isu yang tidak dibangkitkan kerajaan perpaduan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Parti kecil yang menyokong pentadbiran kini sepatutnya membentuk sebuah blok untuk menguatkan suara mereka dalam kerajaan perpaduan, kata penganalisis.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata suara Muda, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Warisan akan lebih didengari dalam kerajaan menerusi pembentukan blok itu.

Ia juga sebagai usaha memperkasa sistem semak dan imbang berkaitan sesebuah isu.

“Mereka boleh menjadi suara alternatif atau ketiga untuk mengukuhkan peranan kerajaan. Ia tidak perlu kritik tetapi beri pandangan konstruktif,” katanya kepada FMT.

Katanya, blok itu juga boleh melengkapi kerajaan dengan mengenal pasti isu yang terlepas pandang dan dimainkan pembangkang supaya Putrajaya dapat bertindak segera.

Awang Azman berkata blok itu juga membolehkan parti kecil terbabit membuktikan kemampuan yang memberi kelebihan ketika rundingan kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

“Parti ini akan mendapat kepercayaan daripada parti utama apabila mereka membantu menyediakan langkah penyelesaian membabitkan isu awam,” katanya.

Muda dan PBM masing-masing mempunyai satu kerusi di Parlimen iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) dan Larry Sng (Julau).

Warisan pula diwakili tiga Ahli Parlimen termasuk Yusof Apdal (Lahad Datu) yang memegang jawatan timbalan menteri pendidikan tinggi.

Bagaimanapun kata Awang Azman, penubuhan blok itu mempunyai cabaran besar termasuk reaksi daripada Pakatan Harapan (PH).

“Apakah PH akan melihat sebarang ancaman? PH perlu melihatnya sebagai usaha mengukuhkan gabungan bukan ancaman,” kata Awang Azman.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) bagaimanapun agak sangsi jika penubuhan blok itu akan memperbaiki kedudukan parti terbabit kecuali menjadi “kingmaker”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.