
Peguam Rosli Kamaruddin berkata, Seksyen 117 KPJ boleh digunakan apabila SPRM ingin menahan suspek antara tujuh hingga 14 hari bagi melengkapkan siasatan.
Semua agensi penguat kuasa undang-undang dibenarkan menahan suspek selama 24 jam tetapi perlu membawa mereka ke hadapan majistret untuk melanjutkan tempoh tahanan.
“Saya tidak bersetuju pegawai pencegah rasuah hanya boleh menggunakan Seksyen 49 Akta SPRM. Peruntukan itu hanya digunakan apabila suspek melanggar syarat bon jaminan,” katanya dalam hujahnya.
Beliau berkata, SPRM sama seperti polis, dibenar menggunakan KPJ untuk menangani kesalahan bawah Kanun Keseksaan dan undang-undang lain.
Rosli dijemput oleh Hakim Abu Bakar Katar sebagai “amicus curiae” untuk membantunya dalam prosiding semakan bagi menentukan sama ada SPRM boleh menggunakan peruntukan KPJ.
Pada 16 Mei lalu, seorang majistret di Johor Bahru enggan membenarkan tahanan selama tujuh hari terhadap seorang suspek yang didakwa menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan sejumlah wang daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) semasa perintah kawalan Covid-19.
Suspek didakwa membuat tuntutan bawah program Penjana Kerjaya, yang direka untuk membantu majikan yang pendapatannya terjejas oleh perintah kawalan berkenaan.
Majistret itu berkata beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei oleh Hakim Roslan Mat Nor bahawa SPRM mesti bergantung kepada prosedur penahanan yang terkandung dalam Seksyen 49 Akta SPRM dan bukan KPJ.
Namun, Rosli berpendapat majistret itu betul dalam menolak permohonan berkenaan kerana catatan siasatan pegawai SPRM tidak mempunyai maklumat mengapa penahanan perlu dilanjutkan.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, yang mewakili SPRM, menyatakan majistret itu tersilap dalam menolak permohonan tersebut.
Abu Bakar akan menyampaikan keputusannya pada 12 Julai ini.