KJ minta ‘masa tambahan’ buat keputusan sertai Bersatu

KJ minta ‘masa tambahan’ buat keputusan sertai Bersatu

Khairy Jamaluddin berkata Muhyiddin Yassin memberikan masa kepadanya membuat keputusan.

Khairy Jamaluddin bertemu Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu untuk bincang tawaran sertai PN. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Khairy Jamaluddin berkata beliau telah memohon “masa tambahan” untuk memikirkan tawaran menyertai Bersatu yang dibuat presidennya Muhyiddin Yassin pada bulan lalu.

Bekas ketua Pemuda Umno itu, beliau bertemu dengan pengerusi Perikatan Nasional (PN) terbabit pada Isnin lalu yang memberikan lagi masa kepadanya untuk membuat keputusan.

“Beliau (Muhyiddin) menawarkan keahlian dalam Bersatu dan peluang terlibat PRN negeri, jadi saya telah jumpa dan memberi pandangan saya…beliau minta saya fikir lagilah.

“Saya telah setuju untuk fikir lagi dan minta beliau sedikit masa, jadi DUN belum bubar mungkin ada sedikit masa untuk apa-apa berlaku (sebelum PRN),” katanya pada podcast Keluar Sekejap.

Pada 17 Mei lalu, Muhyiddin secara umum menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu kerana percaya Khairy mampu memberi sumbangan kepada parti.

Umno memecat bekas Ahli Parlimen Rembau itu atas pelanggaran disiplin parti mengikut perlembagaan Umno kerana kesalahan sewaktu PRU15.

Khairy turut mendakwa wujud fitnah dilemparkan laskar siber Pakatan Harapan (PH) yang mendakwanya mahu diberi jawatan timbalan presiden Bersatu dan dijadikan calon PN di DUN Kota Damansara.

“Saya nak beritahu cybertrooper PH, jangan menyebar berita palsu.

“Saya rasa ini tak beretika dalam politik dan salah satu sebab saya sendiri tak berapa senang dengan PH, sebahagian besar rakyat pun tak senang perangai cybertrooper ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.