Bersatu mahu pengerusi 6 negeri, Azmin untuk Selangor

Bersatu mahu pengerusi 6 negeri, Azmin untuk Selangor

Presiden Muhyiddin Yassin kata pengerusi PN bagi enam negeri itu kuota Bersatu.

Mohamed Azmin Ali
Bersatu mencadangkan Azmin Ali untuk kembali menerajui PN Selangor.
SHAH ALAM:
Bersatu mencadangkan nama-nama untuk menjadi pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah.

Presiden Muhyiddin Yassin memaklumkan nama-nama diserahkan kepada Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar, dan jawatan pengerusi bagi enam negeri itu kuota Bersatu.

“Saya sudah senaraikan semua negeri kecuali negeri yang diperuntuk kepada PAS untuk menerajui PN. Untuk Selangor, nama Azmin Ali kita cadangkan memandangkan beliau juga ketua pembangkang di DUN Selangor,” katanya pada sidang media.

Azmin Ali meletakkan jawatan pengerusi PN Selangor tahun lalu, menuruti langkah Muhyiddin melepaskan jawatan pengerusi PN.

“Sejak dulu pun sudah jadi pemimpin PN. Patut diteruskan,” kata Muhyiddin selepas konvensyen Bersatu Selangor.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar mencadangkan PAS menerajui PN Selangor, namun pesuruhjayanya kemudian menjelaskan ia sekadar pandangan peribadi.

Ketika acara berlangsung, Muhyiddin dalam ucapannya menyatakan keyakinan PN mampu tawan Selangor pada pilihan raya akan datang.

“Kita perlu tujuh kerusi lagi untuk menang,” katanya, dan menambah pilihan raya akan datang “satu-satunya masa terbaik”.

Ditanya pemberita mengenai hasrat PAS bertanding 15 kerusi pada PRN Melaka, Muhyiddin sekadar menjawab: “Kita akan bincanglah. Kita (Bersatu) pun boleh umum.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.