Wanita PH sasar 30% calonnya bertanding PRN

Wanita PH sasar 30% calonnya bertanding PRN

Perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya.

Fadhlina Sidek berkata, Wanita PH akan bekerjasama dengan Wanita Barisan Nasional pada kempen PRN. (Gambar Bernama)
NIBONG TEBAL:
Wanita Pakatan Harapan (PH) menyasarkan calonnya bertanding 30% daripada kerusi DUN pada PRN di enam negeri nanti.

Timbalan Ketua Wanitanya Fadhlina Sidek yang juga ketua Wanita PKR berkata, perkara itu bagaimanapun diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya.

“Sejak awal Jun lagi, Wanita PH mula digerakkan dengan beberapa siri latihan pilihan raya bagi memastikan jentera kita dilengkapi pelbagai maklumat dan bersiap siaga untuk PRN nanti.

“Pelancaran jentera dan siri ceramah umum Pentas Wanita akan dilaksanakan dalam tempoh kempen kelak,” katanya ketika dihubungi Bernama.

PRN akan berlangsung di enam negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor dan dijangka diadakan secara serentak walaupun tarikh pembubaran berbeza.

Fadhlina yang juga menteri pendidikan berkata, Wanita PH akan bergerak dan bekerjasama dengan Wanita Barisan Nasional dalam menjalankan kempen pada PRN kali ini bagi memastikan keutuhan kerajaan perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.