
Sultan Sharafuddin berpesan supaya setiap kempen pilihan raya dijalankan dengan cara berhemah dan bertanggungjawab dengan mematuhi undang-undang pilihan raya sedia ada serta undang-undang lain yang berkaitan.
“Calon dan penyokong juga diingatkan tidak mencaci, menabur fitnah dan mengadu domba terhadap pihak lawan ketika berkempen bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan rakyat,” katanya ketika istiadat pembubaran DUN Selangor di Balai Dewan Diraja Istana Alam Shah hari ini.
Sultan Selangor menjelaskan istiadat berkenaan diadakan lebih awal, hari ini memandangkan baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin akan berangkat menunaikan ibadah haji esok dan dijangka kembali ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji pada 4 Julai ini.
“Maka oleh yang demikian, Beta dalam menjalankan kuasa diberikan di bawah Fasal (2) Perkara 70 Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan setelah berunding dan menerima permintaan pembubaran DUN Selangor dari Menteri Besar, telah berkenan menandatangani Proklamasi Pembubaran Dewan Negeri Selangor hari ini dan akan berkuat kuasa pada hari Jumaat 23 Jun,” katanya.
Dalam masa sama, Sultan Sharafuddin berharap semua pihak dapat mendoakan agar Allah mempermudahkan segala urusan baginda berdua ketika menjalankan ibadah haji dan memperoleh haji yang mabrur.
Susulan perkenan Sultan Sharafuddin itu, ia menyaksikan DUN Selangor yang diterajui PH dibubarkan dua hari lebih awal daripada mandat yang sepatutnya tamat pada 25 Jun ini.
Persidangan DUN Selangor yang pertama adalah pada 26 Jun 2018, selepas PRU14 pada 9 Mei 2018.
Selain Selangor, lima lagi negeri akan berhadapan dengan PRN tahun ini, iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.