
“Konsert boleh diadakan tetapi kita kawal sedikit. Kemungkinan kerajaan akan longgarkan sedikit, iaitu (benar) adakan program kebudayaan namun secara kecil dan terkawal,” katanya dalam program Temu Anwar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan seorang mahasiswa mengenai penganjuran konsert di sebuah universiti awam baru-baru ini yang menjadi isu selepas tular video berdurasi 37 saat memaparkan suasana tempat duduk lelaki dan wanita tanpa pengasingan.
Bagi Khairul Anwar Kamal Apandi, pelajar Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Kesejahteraan UMK Kampus Kota, penganjuran konsert di IPTA perlu diteliti sebaik mungkin supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.
“Konsert di universiti sebenarnya bagus untuk pelajar hilangkan tekanan tetapi perlu dipantau dan dilihat dari segi jenis konsert yang diadakan … Janganlah keterlaluan, melampaui batas dan melanggar hukum agama,” katanya.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perbankan Islam dan Kewangan UMK Kampus Kota Norsyafikah Suardi pula berkata, penganjuran konsert di universiti perlu dipantau oleh pihak pengurusan tertinggi terlebih dahulu.
“Sebelum mengadakan konsert atau program, pelajar akan merujuk terlebih dahulu kepada pihak pengurusan tertinggi universiti. Sekiranya tidak sesuai, maka acara tersebut tidak dibenarkan,” katanya.