Polis, SPRM kongsi maklumat siasat ‘naungan politik’ judi dalam talian

Polis, SPRM kongsi maklumat siasat ‘naungan politik’ judi dalam talian

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya ada menerima maklumat pembabitan pihak politik dalam kegiatan itu.

Acryl Sani Abdullah Sani berkata segala langkah diambil pihaknya berteraskan undang-undang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang berkongsi maklumat siasatan bagi menentusahkan dan menjalankan siasatan lanjut berhubung penglibatan pihak politik dalam aktiviti judi dalam talian.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya ada menerima maklumat mengenai pembabitan kumpulan itu.

“Polis dan SPRM sedang berkongsi maklumat siasatan bagi menentusahkan dan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.

“Polis mengulangi komitmen tidak akan membiarkan kegiatan menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara serta segala langkah diambil adalah berteraskan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang Dewan Rakyat semalam mendedahkan ada kegiatan perjudian dalam talian dinaungi pemimpin politik.

Beliau mendakwa pihak yang menyediakan platform perjudian dalam talian itu boleh mengaut keuntungan sekitar RM200 juta seminggu.

Hari ini, beliau berkata data dan maklumat tepat dikumpul unit risikan pihak berkuasa melibatkan kegiatan judi dalam talian haram dinaungi pemimpin politik bukan satu maklumat boleh dihebahkan kepada umum.

Justeru itu, beliau mahu polis diberi ruang menyusun strategi melibatkan siasatan kegiatan terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.