
Pelumba berusia 35 tahun itu yang merupakan jaguh enam kali acara pecut pada 2008, 2009, 2014, 2017, 2019, dan 2020 – sebelum terlepas edisi tahun lalu setelah menjalani pembedahan jantung pada tahun sama, menewaskan pemenang pingat perak Piala Negara-Negara di Jakarta, Kaiya Ota dari Jepun 2-0 (9.924s, 9.828s) dalam acara itu untuk merangkul pingat emas ke-11nya dalam kejohanan kali ini.
Terdahulu, di peringkat separuh akhir, Azizulhasni yang juga dikenali sebagai “The Pocket Rocketman” menewaskan juara bertahan Kento Yamasaki dari Jepun 2-0.
Selepas rehat sehari, Azizulhasni akan meneruskan pemburuan gelaran juara keirin sulungnya di Asia dalam tempoh lapan tahun selepas kali terakhir merangkul gelaran dalam acara kegemarannya itu pada edisi 2015, di Nakhon Ratchasima, Thailand.
Kemenangan esok akan menyaksikan beliau mengulangi rekod dua emas yang diraihnya dalam acara pecut dan keirin pada edisi 2008 di Nara, Jepun, selain menyumbang pingat perak dalam acara pecut berpasukan.