Anwar bincang dengan Johari Ghani, KJ hala tuju ekonomi

Anwar bincang dengan Johari Ghani, KJ hala tuju ekonomi

Perdana menteri berkata perbincangan turut melibatkan beberapa tokoh ekonomi lain bersetuju negara punya masa terhad menangani cabaran ekonomi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan hala tuju ekonomi bersama Naib Presiden Umno Johari Ghani dan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbincangan bersama Naib Presiden Umno Johari Ghani dan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkait hala tuju ekonomi.

Anwar dalam hantaran di Facebook miliknya, berkata perbincangan itu turut melibatkan ahli ekonomi lain seperti Nungsari Ahmad Radhi, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM), Noor Azlan Ghazali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Nor Azmie Diron.

Katanya, pertemuan itu sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mendapatkan buah fikir serta pandangan mengenai ekonomi negara daripada segenap lapisan masyarakat.

“Perbincangan turut menyentuh bidang pertumbuhan baharu dan kaedah untuk memperkukuh ekosistem pelaburan.

“Pakar ekonomi yang saya temui hari ini juga bersetuju bahawa kita punyai masa yang terhad untuk menyelesaikan masalah atau tantangan yang melanda ekonomi negara dan membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul,” katanya dalam hantaran itu.

Anwar berkata, sebarang reformasi atau pembaharuan memerlukan disiplin dan kesabaran.

“Ia juga memerlukan keyakinan serta keberanian untuk melakukan perkara yang baharu dan membuat keputusan yang berat untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan bertekad bekerja keras untuk memacu pertumbuhan inklusif dan mampan.

“Pertumbuhan ekonomi bukan tentang angka semata-mata tetapi mesti menggarap keperluan serta kehendak rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.