
Memetik data kementerian, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa melaporkan masalah kesihatan mental dalam kalangan penduduk berusia 16 tahun meningkat tiga kali ganda pada 2015, daripada 11% pada 1996 kepada 29%.
“Besar kemungkinan, semasa pandemik Covid-19 masalah kesihatan mental lebih tinggi,” katanya ketika membentangkan Kertas Putih Kesihatan.
Pada 18 Mac, Timbalan Menteri Lukanisman Awang Sauni berkata 13.4% kanak-kanak dan remaja yang menetap di Projek Perumahan Rakyat di Lembah Klang mempunyai kecenderungan bunuh diri dan mencederakan diri sendiri akibat tekanan hidup, menurut laporan Bernama.
Dapatan itu didedahkan kajian Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan bawah Kementerian Kesihatan pada 2022, bagi menilai tahap kesihatan mental kanak-kanak dan remaja di PPR Kuala Lumpur dan Selangor semasa Covid-19.
Dalam pada itu, Zaliha turut melaporkan peningkatan prevalen penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi, dan kolesterol tinggi, menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) dari 2011 hingga 2019.
“Begitu juga dengan insiden kanser dalam negara. Menurut Registri Kanser Kebangsaan, sebanyak 115,000 kes kanser baharu dilaporkan dari 2012 hingga 2016,” katanya.
Laporan Zaliha ini berlatarkan keadaan fasiliti kesihatan dan peralatan di sektor awam yang kebanyakannya sudah uzur serta memerlukan penambahbaikan atau penggantian.
“Sehingga kini, terdapat sebanyak 1,200 fasiliti kesihatan yang daif atau mengalami kerosakan teruk. Ada juga yang mengalami risiko keselamatan seperti mendapan, keretakan bangunan, serta kebakaran yang boleh membahayakan,” katanya.