
Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata dokumen dasar itu menyerlahkan isu utama yang memerlukan respons berkesan.
“Cabaran itu disebut tetapi penyelesaiannya tidak mencukupi,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib, kepada FMT.
Cabaran ini termasuk kadar vaksinasi bukan Covid-19 yang menjunam, penangguhan atau tertunggak dalam pemeriksaan dan rawatan kanser, serta “kemerosotan ketara” dalam kakitangan penjagaan kesihatan yang bekerja di sektor kesihatan awam.

Azrul berkata kertas putih itu juga gagal menangani jurang penjagaan kesihatan antara negeri Malaysia Timur dan Semenanjung.
“Sabah dan Sarawak disebut sebagai sebahagian daripada gambaran cabaran itu. Bagaimana ia mencukupi?” katanya, sambil menambah bahawa kedua-dua negeri itu berhak mendapat bahagian dan tumpuan mereka sendiri kerana cabaran dan keperluannya yang unik.
Sambil menyifatkan bahagian pembiayaan penjagaan kesihatan sebagai “mengelirukan”, Azrul berkata kertas itu pada satu ketika menyebut keperluan untuk mengkaji semula struktur yuran penjagaan kesihatan awam semasa agar lebih sesuai dengan tahap kemampuan.
“Bagaimanapun, pada halaman sama, ia menekankan kepentingan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang komprehensif tanpa terikat dengan isu kemampuan,” katanya.
Azrul berkata, beliau gembira apabila dokumen itu menyentuh isu penjagaan kesihatan yang mampan, tetapi nampaknya ia “mahu menjadi segala-galanya, untuk semua orang, tanpa menyinggung perasaan sesiapa”.
“Ia mungkin akhirnya tidak mencapai apa-apa sebagai hasilnya,” katanya.
Beliau juga berkata perbezaan utama ialah kertas putih ini akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen dan mudah diperoleh oleh semua.
Dokumen itu, yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, mengandungi pelan untuk reformasi sektor penjagaan kesihatan secara berperingkat dalam tempoh 15 tahun akan datang.