
Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno wajar mengelak menerima semula individu yang mengkritik kepemimpinan parti, sama ada secara terbuka atau dalam diam, kerana kembalinya mereka dalam parti itu mungkin menggugat keharmonian.
Memetik Lokman Adam sebagai contoh, Awang Azman berkata, parti itu wajar menerima semula individu yang mengelak konfrontasi.
“Jadi saya tidak rasa kenyataan Presiden Umno Zahid Hamidi (pada Sabtu) terpakai untuk bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin, bekas naib presiden Hishammuddin Hussein, dan bekas ketua penerangan Shahril Hamdan,” katanya kepada FMT.
Khairy antara yang dipecat, manakala Hishammudin dan Shahril digantung selama enam tahun. Mereka bertiga lantang mengkritik Zahid berhubung pelbagai isu.
Pada Sabtu, Zahid berkata, MKT Umno terbuka untuk menerima semula ahli yang telah dipecat dan digantung. Menurutnya, lembaga disiplin Umno akan meneliti rayuan ahli-ahli berkenaan sebelum dibawa kepada MKT untuk pertimbangan lanjut.
Terdahulu, perwakilan Pemuda Umno Kurniawan Naim Moktar menggesa pucuk pimpinan parti agar menerima semula ahli yang dipecat atau digantung baru-baru ini kerana mereka masih setia kepada Umno.
Sementara itu, Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, kenyataan Zahid menunjukkan sikap responsif beliau terhadap tuntutan akar umbi.
“Saya rasa beliau (Zahid) juga sedar bahawa Umno perlu gerak kerja semua ahli untuk PRN, termasuk mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan parti membentuk kerajaan perpaduan,” katanya.
Beliau berkata, keputusan awal Zahid untuk memecat atau menggantung ahli terbabit menunjukkan kuasa yang ada padanya sebagai presiden.
“Kini setelah mesejnya (disampaikan) jelas dan nyata, iaitu bahawa beliau berkuasa, beliau lebih terbuka untuk berunding mengenai kepulangan (ahli-ahli yang dipecat dan digantung)” katanya.