Polis minta bantuan Interpol kesan pelawak Jocelyn Chia

Polis minta bantuan Interpol kesan pelawak Jocelyn Chia

Pelawak itu memperlekeh Malaysia dalam persembahan komediri bertajuk 'Singapore vs Malaysia' yang diadakan di New York.

Klip video tular di media sosial memaparkan pelawak itu memperlekeh Malaysia dalam persembahan komediri bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ yang diadakan di New York, baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Polis akan membuat permohonan kepada Interpol untuk mendapatkan butiran mengenai pelawak Jocelyn Chia, yang dikecam kerana memperlekehkan Malaysia dalam persembahannya di Amerika Syarikat.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, berkata permohonan akan dibuat esok untuk mendapatkan identiti penuh dan lokasi terkini wanita berasal dari Singapura itu.

“Kes akan disiasat bawah Seksyen 504/505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media program lawatan hospital sempena peringatan Hari Polis ke-216 Tahun 2023 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM, Cheras.

Acryl berkata, polis juga membuat permohonan profiling kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (MCMC) bagi membantu proses siasatan ke atas akaun media sosial digunakan pelawak itu.

“Selain itu, polis membuat salinan transkrip ucapan suspek dalam video klip berkenaan,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial klip video memaparkan pelawak itu memperlekeh Malaysia dalam persembahan komediri bertajuk “Singapore vs Malaysia” yang diadakan di New York, baru-baru ini.

Pelawak itu antaranya mengeluarkan kenyataan termasuk jenaka keterlaluan menyentuh kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan “tidak mendarat”.

Menteri Luar Zambry Abdul Kadir meluahkan rasa kesal, dan mengecam tindakan wanita itu, dalam kenyataan dikeluarkan Wisma Putra pada 7 Jun.

Katanya, tindakan itu langsung tidak menunjukkan sensitiviti dan empati terhadap rakyat Malaysia serta keluarga mangsa tragedi.

Sebagai respons, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

Beliau turut memaklumkan wanita itu tidak lagi memegang kerakyatan Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.