Dewan Filharmonik Petronas batal komediri Harith Iskander

Dewan Filharmonik Petronas batal komediri Harith Iskander

Beliau sepatutnya melakukan persembahan pada malam esok sempena kerjayanya sebagai pelawak selama 35 tahun.

Harith Iskander
Dewan Filharmonik Petronas (DFP) batal persembahan Harith Iskander tanpa mengemukakan sebarang alasan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dewan Filharmonik Petronas (DFP) batal program komediri Harith Iskander, yang dijadual berlangsung malam esok.

DFP tidak memberikan alasan pembatalan persembahan ‘DFP Punchline: Harith Iskander Punchline: Harith Iskander 35 Years Of Laughter’, namun sekadar memohon maaf atas kesulitan kepada pembeli tiket.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan berlaku. Terima kasih atas pemahaman anda dan sokongan berterusan,” katanya menurut Berita Harian.

Kenyataan itu juga memaklumkan pembeli tiket boleh membuat pertukaran dengan konsert lain atau mendapatkan bayaran semula.

“Tiket boleh ditukar dengan mana-mana konsert DFP atau MPO (Malaysian Philharmonic Orchestra) lain dalam musim ini.

“Kedua, bayaran balik boleh dibuat melalui kaedah pembayaran asal yang digunakan pada masa pembelian. Semua pertukaran atau permintaan bayaran balik hendaklah dibuat selewat-lewatnya pada 8 Feb ini.”

Hari ini, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kenyataan Harith berhubung hantaran isu ‘ham’ telah dirakam kelmarin.

Polis turut mengenal pasti identiti seorang lagi individu dikenali ‘Cecelia Yap Song’ dipercayai mempunyai kaitan dalam isu berkenaan, yang komennya dilihat mempersenda nama Nabi Muhammad.

Minggu lalu, dalam hantaran Facebook, Harith secara berseloroh menyatakan “iman tergugat” apabila beliau mempertimbangkan untuk menikmati “Ham Sap Kopi”.

Harith membuat jenaka itu di tengah-tengah kontroversi sandwic ‘ham & cheese’ didakwa tidak mempunyai perakuan halal dengan produk itu dijual kedai serbaneka di Universiti Malaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.