PRN: Agihan kerusi amanah selesai 90%, kata Mat Sabu

PRN: Agihan kerusi amanah selesai 90%, kata Mat Sabu

Presiden Amanah berkata terdapat sedikit perubahan dari segi bilangan calon kali ini memandangkan ada pertambahan parti politik dalam komponen PH iaitu BN.

Mohamad Sabu berkata pihaknya bersama parti komponen lain akan berusaha meraih undi di Kelantan terutama dengan menyasarkan pengundi luar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Agihan kerusi yang akan ditandingi Amanah menjelang PRN akan datang hampir selesai dan kini mencapai 90%, kata Presidennya Mohamad Sabu.

Beliau berkata, untuk PRN kali ini terdapat sedikit perubahan dari segi bilangan calon memandangkan ada pertambahan parti politik dalam komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu Barisan Nasional (BN).

“Pembahagian kerusi sudah 90% selesai yang mana sebahagiannya lagi akan ada perundingan pada minggu ini.

“(Agihan) tak sama macam dulu, dulu kita tiga parti, sekarang empat (BN) jadi (kerusi) tidaklah sebanyak dulu.

“Kali ini kita bertanding tak mahu jumlah kerusi banyak tetapi nak jumlah menang, jadi kena ada kerjasama yang baik,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama pemimpin peladang di sebuah hotel Kota Bharu malam tadi.

Mohamad berkata, pihaknya bersama parti komponen lain akan berusaha meraih undi di Kelantan terutama dengan menyasarkan pengundi luar.

Menyifatkan pengundi luar tidak merasai kesusahan sebenarnya yang dialami rakyat Kelantan terutama dalam isu air, beliau menggesa agar golongan sasar itu melihat pembangunan yang dikecapi rakyat negeri lain.

“Di Kelantan kita nampak mereka (PAS) peroleh dari pengundi luar yang mana pengundi luar ni dia tak merasai masalah air kerana selepas pulang mengundi, mereka balik (ke negeri luar).

“Kita harap pengundi luar boleh lihat kejayaan di tempat lain, sudah-sudah la asyik salahkan orang lain, kita akan fikir macam mana.

“Kita nampak kerajaan negeri masih tidak berupaya, perdana menteri sendiri kata cukuplah 60 tahun tak ada air. Beliau akan bersama dengan menteri besar (Kelantan) untuk selesaikan masalah itu di Kelantan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.