Kematian dalam tahanan menurun 48%, kata timbalan menteri

Kematian dalam tahanan menurun 48%, kata timbalan menteri

Shamsul Anuar Nasarah, berkata hanya 28 kes direkodkan tahun lalu berbanding 46 kes tahun sebelumnya.

Enam kes kematian dalam tahanan dirujuk ke Mahkamah Koroner dan empat daripadanya dalam prosiding inkues manakala dua lagi belum ada arahan lanjut.
KUALA LUMPUR:
Jumlah kematian individu dalam tahanan polis pada tahun lalu menurun sebanyak 48% kepada 24 kes berbanding 46 kes bagi tahun sebelumnya sejak Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) ditubuhkan Januari tahun lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah, berkata daripada keseluruhan kematian yang disiasat tahun lepas, USJKT mendapati dua kes mempunyai unsur jenayah iaitu satu di Taiping, Perak (sudah didakwa dan dalam proses perbicaraan) manakala satu lagi di Kelantan (dalam proses siasatan).

Beliau berkata, selain itu, terdapat enam kes dirujuk kepada Mahkamah Koroner dan empat daripadanya dalam prosiding inkues manakala dua lagi belum ada arahan lanjut.

“USJKT juga akan membentang hasil laporan, siasatan serta perkembangan setiap kes kematian orang dalam tahanan polis kepada mesyuarat dengan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) dan SIAP (Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan) yang diadakan tiga bulan sekali.

“Mesyuarat ini bertujuan untuk melaksanakan fungsi semak dan imbang bagi siasatan kes kematian individu dalam tahanan polis dan menambah baik pengurusan tahanan polis,” katanya ketika memberi penerangan kepada Tan Hong Pin (PH-Bakri) pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat berhubung langkah Kementerian Dalam Negeri dalam menguruskan kes kematian dalam tahanan polis.

Shamsul Anuar berkata, menerusi penubuhan USJKT, pelbagai penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan tahanan polis dilaksanakan antaranya pemeriksaan lokap dan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) lokap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.