Anwar tak mahu hutang negara bertambah

Anwar tak mahu hutang negara bertambah

Perdana menteri berkata dengan berbelanja sebanyak mungkin dan menambah hutang hanya akan menjadikan ekonomi negara lebih meleset.

Anwar Ibrahim berkata kerajaan berusaha memulihkan ekonomi negara serta mengurangkan hutang mencecah RM1.5 trilion.
SHAH ALAM:
Kerajaan sedang berusaha memulihkan ekonomi negara dan mahu mengurangkan bebanan hutang yang kini mencecah RM1.5 trilion.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dengan ‘berbelanja sebanyak mungkin, dan hutang sebanyaknya’ hanya akan menyebabkan ekonomi meleset.

“Oleh itu saya tak mahu hutang bertambah, kita harus kurangkan hutang. Defisit maknanya belanja lebih dari batas,” katanya berucap pada Majlis Amanat Khas Perdana Menteri kepada penjawat awam Selangor di sini.

Tambahnya lagi, bebanan hutang hanya akan merugikan generasi akan datang.

“Seperti mana dijawab mantan perdana menteri, menteri kewangan dulu. Tak cukup duit hutang sahaja, pinjam sahaja, negara kita masih boleh pinjam, ada sukuk ada bon.

“Tapi tak bertanggungjawab. Nak bayar siapa, nak bayar anak-anak kita,” katanya yang berseloroh mahu memulihkan ekonomi dengan cepat supaya dapat menikmati gaji sebagai perdana menteri.

Menurutnya, ketika ini beliau kekal dengan pendiriannya untuk tidak menerima gaji.

“Bila ekonomi kita pulih cepat, saya pun dapat ambil gaji saya balik, sebab enam bulan tak ambil gaji lagi, cumanya selagi ekonomi belum pulih saya tak akan ambil gaji saya,” katanya.

Anwar turut membandingkan prestasi ekonomi Malaysia dan Indonesia serta pendekatan yang digunakan kedua-dua negara dalam menguruskan perbelanjaan, termasuk membatalkan subsidi elektrik.

“Dan ia (Indonesia) kurangkan belanja dengan mendadak dan disebabkan itu pelaburan datang ke negara mereka. Tapi, saya tak nak pilih cara begitu, tak nak nak bebankan rakyat,” kata Anwar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.