MCA tunggu rundingan kerusi selesai sebelum atur jentera PRN

MCA tunggu rundingan kerusi selesai sebelum atur jentera PRN

Apabila rundingan kerusi dimuktamadkan, barulah parti-parti akan membuat keputusan bagaimana untuk berdepan dengan akar umbi, kata Presiden MCA Wee Ka Siong.

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, mana-mana parti tidak boleh menganggap kawasan-kawasan tertentu milik mereka sebelum rundingan kerusi muktamad. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
MCA akan menunggu rundingan kerusi bagi PRN di enam negeri selesai sebelum mengatur gerak kerja jenteranya.

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, langkah itu penting kerana hasil rundingan berkenaan diharap dapat menterjemahkan semangat keberadaan dan kebersamaan parti-parti bawah kerajaan perpaduan.

“Saya rasa penterjemahan itu (penting) dalam bentuk rundingan kerusi, macam mana kita nak menterjemahkan semangat kita bersama-sama. Saya rasa itu antara cabaran paling besar (yang perlu dihadapi parti-parti).

“Apabila (rundingan kerusi) dimuktamadkan, dari situlah saya rasa parti masing-masing akan membuat keputusan bagaimana ia akan berdepan dengan akar umbi,” katanya kepada pemberita selepas mengundi pada proses pemilihan MCA Bahagian Johor Bahru di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesediaan MCA untuk membantu jentera kerajaan perpaduan termasuk bagi calon Pakatan Harapan (PH) pada PRN akan datang di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Wee berkata, mana-mana parti juga tidak boleh menganggap kawasan-kawasan tertentu milik mereka sebelum rundingan kerusi muktamad.

“(Rundingan) belum dimuktamadkan, mana-mana parti tak boleh kata … oh itu parti saya, di sini parti saya bertanding,” katanya.

“Tetapi kalau semangat kerajaan perpaduan diterjemahkan dalam bahagian atau kawasan-kawasan semasa PRN, itulah yang menguji kematangan pemimpin.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.